Pengendali Pahang Rangers, Luis Fonseca Cilleros menyifatkan moral pasukannya berada di tahap cukup baik menjelang aksi tumpuan berprofil tinggi Malaysian Premier Futsal League (MPFL) menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Tertutup SUKPA pada 14 Jun nanti.
Menyifatkan ia sebagai perlawanan ‘blockbuster’ yang akan menentukan hala tuju kejuaraan musim ini, Fonseca cukup gembira dengan prestasi semasa Pahang Rangers dan mahu barisan pemainnya meneruskan momentum cemerlang yang tercipta.
Sejak tewas kepada JDT dalam aksi ketiga MPFL pada Mac lalu, Pahang Rangers telah memenangi kesemua enam perlawanan terakhir, menghuni tangga kedua dengan 24 mata.
Sementara JDT bimbingan Juan Antonio Migue Garcia pula, setakat ini mengekalkan rekod sempurna, menang kesemua sembilan perlawanan dan memimpin carta liga dengan 27 mata.
Ironinya, Pahang Rangers adalah satu-satunya pasukan berjaya memberi tentangan sengit dan hampir mencuri mata daripada JDT ketika tewas 3-4 di Pasir Gudang – kekalahan yang menyebabkan Fonseca meluahkan rasa kecewa terhadap mutu pengadilan.
Berita Berkaitan: Fonseca Minta FAM Tingkat Mutu Pengadil Selepas Tewas Kepada JDT
“Pertembungan ‘top of the table’ antara dua pasukan terbaik ketika ini, dengan kedua-dua pasukan sedang dalam prestasi terbaik. Tiga mata memisahkan, jika kami menang perlawanan ini, kami akan sampai ke penghujung liga dengan peluang untuk muncul juara.
“Ini ibarat final bagi kami, menentang pasukan yang belum tewas musim ini, tetapi telah menewaskan kami pada pusingan pertama dengan mendapat banyak bantuan daripada pengadil, malah membuat provokasi sehingga kami bermain dengan kurang seorang pemain import.
“Kami menanti kehadiran mereka di SUKPA dengan tekad menyelesaikan apa yang tertangguh. Buat masa ini, persiapan dan mood team dalam keadaan baik, dan kita akan menentang mereka dalam keadaan cukup bersedia,” ujar Fonseca kepada OtaiStation.
Tambah Fonseca lagi, beliau mengharapkan SUKPA akan sekali lagi ‘full-house’ untuk memastikan misi tiga mata dapat direalisasikan.
“Penyokong telah menunjukkan sokongan luar biasa sejak dari awal dan mereka adalah sebab kita dapat capai prestasi ini. Saya harap sokongan sama dapat dilihat nanti, seperti biasa penuhkan SUKPA, gegarkan dengan sorakan dan laungan semangat.
“Berjuang bersama kami, jadi pemain keenam. Supaya peluang untuk menang ke atas lawan yang sangat sukar ini menjadi lebih cerah, dan rentetan kemenangan dapat diteruskan,” ujar Fonseca.