Penyerang Barcelona, Robert Lewandowski, mengumumkan bahawa beliau tidak akan lagi menyarung jersi skuad kebangsaan Poland selagi Michal Probierz kekal sebagai ketua jurulatih.
Penyerang berusia 36 tahun itu, yang memegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Poland dengan 85 gol dalam 158 penampilan, tidak disenaraikan Probierz untuk mengharungi aksi antarabangsa kali ini.
Malah, dia juga dilucutkan sebagai kapten pasukan, dengan bintang Inter Milan, Piotr Zielinski diumumkan sebagai kapten baharu Poland. Susulan pengumuman tersebut, Lewandowski memuat naik kenyataan di media sosial:
“Berdasarkan situasi semasa dan hilangnya kepercayaan terhadap jurulatih, saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada mewakili pasukan kebangsaan Poland selagi beliau masih memegang jawatan itu.
“Namun, saya masih berharap akan ada peluang lagi untuk bermain demi penyokong terbaik di dunia ini,” ujar Lewandowski yang menamatkan musim 2024/25 dengan membantu Barcelona merangkul treble domestik.
Probierz, 52, mula mengemudi Poland pada September 2023 dan membawa mereka layak ke Euro 2024 namun menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan selepas gagal mencatat sebarang kemenangan – malah menjadi pasukan pertama tersingkir dari kejohanan tersebut.
Bagaimanapun, Poland memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan apabila mendahului kumpulan selepas mencatat dua kemenangan daripada dua perlawanan. Belanda kini di tangga ketiga dengan tiga mata hasil satu kemenangan.