HomeSukan"Semuanya Kerana Keikhlasan TMJ"

“Semuanya Kerana Keikhlasan TMJ”

Revolusi Harimau Malaya sedang menampakkan hasil, dan ianya tidak mungkin terjadi jika bukan kerana sentuhan Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).

Demikian pandangan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar yang menyifatkan kejayaan Harimau Malaya membenam Vietnam penuh bergaya dan sebelum itu mengikat Cape Verde sebagai bukti awal transformasi TMJ.

Tegas Syed Yazid, tanpa campur tangan dan usaha tanpa jemu TMJ yang merupakan pencetus revolusi Harimau Malaya, penyokong tidak mungkin dapat melihat versi baru pasukan kebangsaan yang lebih energetik dan menghiburkan.

“Saya pernah katakan sebelum ini, cuba bayangkan jika Tunku Ismail tidak membantu dalam bola sepak negara. Apa akan jadi kepada masa depan pasukan, tetapi ramai pulak yang menuduh saya memberi kenyataan tidak tepat.

“Sekarang kita dapat saksikan, apa yang diusahakan Tunku Ismail dengan merevolusikan pasukan dengan membawa masuk kepakaran dan pemain warisan luar sudah berhasil.

“Kita perlu akui tanpa bantuan dan usaha ikhlas Tunku Ismail mungkin sukar untuk kita berubah, apatah lagi untuk menewaskan Vietnam yang sudah 11 tahun kita tak pernah menang dengan mereka.

“Saya fikir ini adalah titik permulaan kepada kebangkitan bola sepak negara dan kita seharusnya sama-sama menyokong usaha ini,” katanya.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Peter Cklamovski mencuri tumpuan pada Selasa lalu apabila membenam Vietnam 4-0 dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Kemasukan lima pemain warisan baharu jelas membawa dimensi berbeza dalam taktikal pasukan negara, memberikan suntikan semangat dan memperkukuh persembahan mereka di atas padang.

Keempat-empat jaringan Malaysia hadir dalam separuh masa kedua menerusi Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Corbin Ong dan Dion Cools.

Kemenangan ini juga meletakkan Malaysia di puncak Kumpulan F selepas turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal pada Mac lalu, sekali gus mengumpul enam mata penuh.

Sementara itu, Syed Yazid menyatakan sokongan padu beliau bersama para penyokong bola sepak Kuala Lumpur terhadap usaha Tunku Ismail dalam mengangkat martabat bola sepak negara ke peringkat antarabangsa.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!