JDT semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) setelah dikerah lima kali bangkit untuk menewaskan pencabar terdekat Pahang Rangers 7-6 dalam aksi berbalas jaringan di SUKPA, Kuantan.
Ridzwan Bakri – tonggak kejuaraan berganda Pahang Rangers pada 2023 – menjaringkan empat gol bagi mengecewakan bekas pasukannya itu, termasuk gol kemenangan seminit sebelum tamat perlawanan.
Kemenangan memastikan JDT mengekalkan rekod bersih, menang kesemua 10 perlawanan, dan kini enam mata mengatasi Pahang Rangers dan Selangor yang melonjak ke tangga kedua menerusi beza jaringan.
Di atas kertas, kemenangan itu bermakna JDT sudah 99 peratus bergelar juara untuk musim kedua berturut-turut. Meskipun masih berbaki empat perlawanan, mustahil untuk skuad Miguel Garcia disekat apatah lagi hanya Selangor pasukan paling kuat mereka akan jumpa selepas ini, itupun di perlawanan terakhir.
Bagi jurulatih Pahang Rangers, Luis Fonseca, dia akur peluang untuk mengejar JDT sudah tertutup. “Sebelum perlawanan saya ada bagitau, kalau menang kita ada peluang bergelar juara. Tetapi setelah memberikan aksi cukup baik, lima kali mendahului, kita terpaksa terima kekalahan dan gagal untuk mengheret penentuan kejuaraan sehingga minggu akhir.
“Kami perlu bangkit selepas ini, buat yang terbaik untuk mengukuhkan tempat di kedudukan kedua.”
Baca Juga: Fonseca Tekad Calar Rekod Bersih JDT
Aksi di hadapan stadium keramat SUKPA yang full-house pada Sabtu, menyaksikan Ridzwan Bakri membuka jaringan pada minit keempat sebelum Pahang Rangers meledak dua gol pantas menerusi Matheus Moura dan Razin Rahim untuk mendahului 2-1.
Seorang lagi bekas pemain Pahang Rangers, Awalluddin Mat Nawi mengikat kedudukan pada minit ke-16, namun gol Felipe de Souza memastikan separuh masa pertama berakhir dengan kelebihan 3-2 buat tuan rumah.
Sebaik separuh masa kedua bersambung, Bruno Taffy mengikat kedudukan 3-3. Kemudian giliran Harith Naim meletakkan Pahang Rangers 4-3 di depan, sebelum Iwan Bakri menjadikan kedudukan 4-4.
Perlawanan semakin rancak apabila Tuah Eizlan meledak gol kelima pada minit ke-29, namun seminit kemudian Iwan Bakri melengkapkan hatrik untuk kedudukan berubah 5-5.
Felipe de Souza menjaringkan gol keenam Pahang Rangers pada minit ke-33, tetapi disamakan oleh Firdaus Ambiah. Dengan perlawanan menuju wisel penamat pada kedudukan 6-6, Iwan Bakri mengecewakan Pahang Rangers menerusi penyudah klinikal yang gagal diselamatkan Zainulzahin Sinuan.