HomeSukanRenang Guna Cara FAM, Aktif Cari Perenang Warisan

Renang Guna Cara FAM, Aktif Cari Perenang Warisan

Melihat kejayaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengubah wajah skuad Harimau Malaya menerusi program pemain warisan, Akuatik Malaysia (MAS) juga mahu melakukan perkara sama dan ketika ini rancak mencari perenang warisan untuk menganggotai pasukan renang kebangsaan.

Menurut Timbalan Presiden MAS, Marilyn Chua Yu Ching, pihaknya telah mengenalpasti beberapa calon berpotensi dan menghubungi mereka, dan sudahpun menerima maklum balas daripada ibu bapa atlet berkenaan yang berdarah Malaysia.

“Ia sangat positif, Singapura banyak melakukan perkara itu (mengambil perenang warisan). Mereka secara aktif mencari bakat Singapura di luar negara dan itu adalah perkara yang kami ketengahkan kepada Pengarah Teknikal, Megan Oesting,” ujar Marilyn.

Tambah Marilyn, pencarian perenang warisan tertumpu di beberapa negara kuasa besar dalam sukan renang seperti New Zealand, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Beliau menegaskan, meskipun berdarah campuran, ia bukan tiket automatik untuk terus mewakili negara sebaliknya mereka tetap perlu menjalani sesi pemilihan mengikut piawaian semasa dan perlu melepasi kriteria ditetapkan.

“Semestinya piawaian sangat ketat. Renang adalah sukan yang sangat objektif. Kita ada piawaian masa dan ia sangat jelas. Jadi jika mereka memenuhi piawaian masa kami tetapkan untuk setiap pertandingan, mereka (akan) layak. Jadi ia berdasarkan merit, mereka akan dipilih.

“Ia bukan sekadar ‘oh, anda warganegara’ atau anda warganegara Malaysia dan anda tinggal di luar negara, maka anda akan 100 peratus diterima masuk. Bukan begitu, anda masih perlu memenuhi masa kelayakan, anda masih perlu bersaing dengan perenang tempatan juga,” katanya.

Dalam pada itu, hasrat MAS merekrut perenang warisan disambut baik Majlis Sukan Negara (MSN). Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, langkah tersebut bukanlah baharu di rantau Asia Tenggara.

“Kita rasa langkah ini satu langkah yang baik memandangkan banyak negara sudah mula mencari atlet warisan mereka di negara lain. Negara Filipina sendiri sudah memulakan program berkenaan semasa menjadi tuan rumah Sukan SEA 2019.

“Jadi kita harap lebih ramai atlet yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia, pulang dan mewakili negara ke temasya dan kejohanan utama,” kata Jefri kepada media.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!