HomeSukanPahang Rangers Dikejutkan Pasukan Tangga Tercorot

Pahang Rangers Dikejutkan Pasukan Tangga Tercorot

Pahang Rangers menutup tirai saingan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) 2025 dengan kekalahan mengejut 4-5 kepada pasukan tangga tercorot, Malaysian University di hadapan penyokong sendiri.

Lebih perit, ia adalah kekalahan kedua di SUKPA dan keempat dalam lima perlawanan terakhir buat Pahang Rangers yang merupakan antara pencabar utama kejuaraan MPFL musim ini.

Sudahpun sah mengakhiri musim ini di tangga ketiga liga di belakang JDT dan Selangor sebelum perlawanan berlangsung, Pahang Rangers dijangka tidak akan berdepan masalah untuk menewaskan Malaysian University yang hanya menang sekali dalam 13 perlawanan.

Ini menyaksikan Luis Fonseca Cilleros menurunkan ‘pair’ yang jarang digandingkan sebagai first five iaitu Shakirin Ahmad Mufti, Shazwan Musa, Harith Naim, Amirul Khairuddin dan Matheus Moura – manakala penjaring terbanyak Felipe de Souza langsung tidak bermain.

Selepas permulaan yang berhati-hati, Pahang Rangers berada di depan pada minit ke-13 menerusi Sirhan Aiman namun dua minit kemudian Alif Roslan menyamakan kedudukan 1-1 dan kedudukan itu bertahan sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua berlangsung rancak dengan masing-masing berbalas jaringan. Zulkifli Abu Hasan dua kali meletakkan pasukan Malaysian University kendalian Addy Shairullyzam di depan, dengan Pahang Rangers membalas menerusi Harith Naim dan Akmarulnizam Idris untuk mengikat kedudukan 3-3.

Namun, selepas itu Pahang Rangers ibarat kehilangan arah, mereka melepaskan dua gol pada minit ke 38 dan 39, manakala Matheus Moura pula dilayangkan kad merah. Jaringan Sirhan Aiman 30 saat sebelum tamat perlawanan pula sudah terlewat untuk memacu kebangkitan.

Dengan keputusan itu, Pahang Rangers menamatkan musim dengan sembilan kemenangan dan lima kekalahan, mengutip keseluruhan 27 mata di tempat ketiga. Manakala Malaysian University melonjak satu tangga ke tangga ketujuh mengatasi Kedah.

Bagaimanapun kedudukan Malaysian University masih berpotensi untuk berubah seandainya Kedah berjaya mengutip sekurang-kurangnya satu mata menentang Sabah pada Sabtu.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!