Hasrat pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menjulang trofi Malaysian Premier Futsal League (MPFL) 2025 dengan rekod sempurna menang kesemua perlawanan lebur di tangan Selangor.
JDT yang sudahpun sah bergelar juara setelah menewaskan Sabah minggu lepas, berpeluang mengakhiri musim dengan rekod invincibles sekiranya tidak tewas berdepan Selangor malah boleh mencatat sejarah sebagai pasukan pertama menang kesemua perlawanan liga dalam satu musim.
Namun, keputusan luar jangka terjadi di Stadium Tertutup Pasir Gudang, apabila skuad kendalian Juan Miguel Antonio Garcia dimalukan Selangor dengan keputusan 8-5 di hadapan penyokong sendiri, sekaligus ‘merosakkan’ malam pesta kejuaraan mereka.
Dengan Selangor juga sudah sah muncul naib juara liga sebelum perlawanan, pertembungan kedua-dua pasukan yang berada pada tahap prestasi terbaik ini menjurus lebih kepada pertembungan maruah.
Separuh masa pertama, Selangor dilihat terlalu dominan, memaksa pemain-pemain JDT melakukan beberapa kesilapan mudah dan berjaya untuk mendahului 3-0 menerusi jaringan Vitor Fernandes dan dua jaringan Evandro Borges.
Hanya pada penghujung babak pertama, JDT berjaya bangkit dan mendapat dua gol pantas menerusi Bruno Taffy dan Awalluddin Md Nawi untuk merapatkan defisit kepada 2-3.
Bersambung separuh masa kedua, Firdaus Ambiah mengikat kedudukan 3-3, dan selepas itu kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan sehinggalah kedudukan terikat 5-5. Ketika perlawanan dilihat akan berakhir dengan seri, Selangor meledak tiga gol dalam satu minit semuanya menerusi kesilapan powerplay JDT untuk muncul pemenang di Pasir Gudang.
Ia sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah 22 perlawanan JDT di dalam saingan liga.