HomeSukanXavi Tidak Memohon, India Diperbodohkan Budak Umur 19 Tahun

Xavi Tidak Memohon, India Diperbodohkan Budak Umur 19 Tahun

Persekutuan Bolasepak India (AIFF) dikatakan telah menolak permohonan bekas bintang Barcelona, Xavi Hernandez sebagai jurulatih skuad kebangsaan negara itu.

Mereka memberikan alasan kononnya Xavi mungkin akan meminta gaji tinggi disebabkan reputasi dan profilnya yang bukan calang-calang, justeru awal-awal lagi permohonannya dicantas.

Tetapi rupanya ada cerita lain. Benarkah Xavi yang bereputasi tinggi itu menghantar permohonan untuk membimbing sebuah pasukan kebangsaan yang berada di kedudukan ke-133 dunia?

Media Sepanyol serta sumber terdekat dengan Xavi menyatakan dia tidak menghantar pun sebarang permohonan untuk menjadi jurulatih India. Malah mereka menghentam AIFF yang dikatakan sengaja menggunakan nama Xavi untuk menunjukkan bahawa kononnya ramai jurulatih bereputasi tinggi berminat mengendalikan pasukan mereka.

Cerita sebenarnya, AIFF kena ‘prank’ dengan permohonan palsu oleh seorang individu berumur 19 tahun. Individu tersebut menghantar permohonan melalui email, dengan menggunakan ID “xaviofficialfcb@gmail.com” dan AIFF pula menyangka permohonan itu datangnya dari akaun rasmi Xavi.

Untuk rekod, sebelum ini pasukan India dikendalikan Manolo Marquez namun khidmatnya ditamatkan setelah hanya lapan perlawanan berikutan sekadar mencatat satu kemenangan, iaitu menentang Maldives. Bulan lalu, India turut tewas dalam kedua-dua perlawanan menentang Thailand dan Hong Kong semasa Marquez menjadi jurulatih.

Marquez sebelum itu dilantik menggantikan Igor Stimac, dan masih mempunyai baki dua tahun dalam kontraknya. Musim lalu, beliau memegang dua jawatan serentak apabila turut membimbing kelab FC Goa.

Dia mengambil alih pasukan kebangsaan India pada Julai tahun lalu. Bersama FC Goa dan Hyderabad FC, Marquez pernah menjulang trofi ISL dan turut memberi peluang kepada pemain muda. Namun, beliau gagal mengulangi kejayaan itu sebagai jurulatih pasukan kebangsaan India.

Buat masa ini, permohonan lain bagi mengisi jawatan jurulatih India turut diterima daripada beberapa nama terkenal seperti Eelco Schattorie; legenda Liverpool, Harry Kewell; jurulatih Slovakia, Stefan Tarkovic; Khalid Jamil; Kibu Vicuna; serta bekas pengurus Blackburn, Steve Kean.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!