HomeSukanAchraf Hakimi Berdepan Hukuman Penjara 15 Tahun

Achraf Hakimi Berdepan Hukuman Penjara 15 Tahun

Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Achraf Hakimi bakal berdepan perbicaraan jenayah atas tuduhan merogol seorang wanita yang dijemput ke rumahnya di pinggir Paris.

Pendakwaraya Perancis sudah menandatangani dakwaan akhir supaya pemain berusia 26 tahun itu dibicarakan di mahkamah jenayah.

Jurucakap pejabat pendakwa Nanterre pada Jumaat mengesahkan mereka telah meminta hakim penyiasat untuk merujuk kes Hakimi ke perbicaraan.

Perkembangan itu susulan Hakimi didakwa merogol pada 3 Mac 2023 dan dibebaskan dengan pengawasan polis.

Jika didapati bersalah, pemain kebangsaan Maghribi itu berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun – hukuman tertinggi untuk kes rogol tanpa unsur keganasan di Perancis.

Kes ini berpunca daripada kejadian yang didakwa berlaku pada 25 Februari 2023. Menurut portal Le Parisien, seorang wanita berusia 24 tahun memberitahu polis bahawa dia mengenali Hakimi menerusi Instagram pada Januari tahun sama.

Selepas sebulan berbalas mesej, Hakimi dilapor memesan perkhidmatan Uber supaya wanita itu datang ke rumahnya di Boulogne-Billancourt.

Ketika itu, isterinya – pelakon Sepanyol-Turki, Hiba Abouk, 38 – sedang bercuti di Dubai bersama dua anak mereka. Setibanya di rumah, wanita terbabit mendakwa Hakimi mencium mulut dan payudaranya melalui pakaian, meskipun dia membantah.

Dia turut mendakwa diserang secara seksual tanpa kerelaan.

Menurut keterangannya, dia berjaya menendang Hakimi sebelum melarikan diri dan menghantar mesej kepada rakan untuk menjemputnya.

Dia kemudian pergi ke balai polis pada hari sama untuk “membuat kenyataan berhubung rogol,” walaupun pada awalnya enggan memfailkan aduan rasmi.

Beberapa mesej yang diserahkan kepada penyiasat dilapor menunjukkan keadaannya yang tertekan selepas kejadian.

Pada 3 Mac 2023, Hakimi didakwa oleh hakim penyiasat dan diletakkan di bawah pengawasan kehakiman selepas ditahan.

Hakimi bagaimanapun secara konsisten menafikan semua tuduhan.

Pemain itu, yang kini bercuti di Puerto Rico bersama bekas rakan sepasukan Kylian Mbappe, sebelum ini mendakwa kes berkenaan adalah satu komplot terhadapnya.

“Apabila anda berjaya dan segalanya berjalan lancar, anda menjadi sasaran mudah untuk sesetengah pihak. Itu mengajar saya bahawa kita tidak boleh mempercayai semua orang di sekeliling.

“Mereka mahu memeras ugut saya dan sebab itu kami memfailkan aduan balas. Proses kehakiman setakat ini berjalan dengan baik,” kata Hakimi dalam satu temu bual pada Januari lalu.

Sepanjang siasatan, Hakimi menegaskan wanita yang membuat tuduhan – yang ketika itu berusia 23 tahun – cuba mengambil berjuta-juta daripadanya. – AGENSI

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!