HomeSukan"Nenek Bekerja Keras Untuk Realisasikan Impian Ini" - Machuca

“Nenek Bekerja Keras Untuk Realisasikan Impian Ini” – Machuca

Pemain warisan Harimau Malaya kelahiran Argentina, Imanol Machuca, menyatakan bahawa perpindahannya ke pasukan Harimau Malaya adalah hasil kerja keras nenek nya yang berasal dari Malaysia.

Dalam satu temu bual bersama media Sepanyol, Sabado Velez, baru-baru ini, pemain sayap berusia 25 tahun itu menyifatkan debutnya bersama Malaysia sebagai satu “pengalaman unik”, yang tidak mungkin terjadi tanpa nenek nya.

Machuca memainkan peranan penting ketika Malaysia membelasah pasukan gergasi Asean, Vietnam, 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun lalu.

Mengimbas kembali detik itu, Machuca meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada neneknya kerana merealisasikan impiannya bermain untuk Malaysia.

“Saya mendapat panggilan telefon daripada nenek saya. Dia sudah lama berusaha untuk menjayakan perkara ini (menyertai Malaysia). Saya sendiri pernah bercakap tentang hasrat ini, tetapi tidak pernah berjaya melakukannya. Syukur, tahun ini saya akhirnya dapat bermain. Ia sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Ketika bercakap menjelang aksi pusingan 16 Copa Libertadores, Machuca, yang kini bermain untuk kelab Velez Sarsfield FC di Argentina, turut berkongsi pengalamannya bersama skuad Malaysia.

“Terdapat semangat yang sangat tinggi di Malaysia. Apabila pengumuman dibuat (tentang saya bermain untuk Malaysia), hantaran itu mendapat 15,000 tanda suka dan begitu banyak komen dengan bendera Malaysia. Saya ingin kirim pelukan besar buat semua rakyat Malaysia,” katanya.

Machuca turut menceritakan pengalamannya semasa pertama kali menjejak kaki ke Malaysia. “Ia sebuah negara yang cantik. Ekonominya stabil, bandar-bandarnya menarik, walaupun cuacanya agak panas dan lembap.

“Rakyatnya ramah. Mereka melayan saya dengan baik, dan budayanya sangat menarik.

“Saya masih berhubung dengan jurulatih (Peter Cklamovski). Saya harap mereka akan panggil saya semula. Saya sangat menikmati pengalaman dalam kelayakan Piala Asia. Kami bermain dengan baik dan saya harap kami boleh menang dua lagi perlawanan seterusnya (menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober).”

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!