Mahkamah Perusahaan memerintahkan Perak FC Sdn Bhd untuk membayar pampasan RM1.04 juta kepada bekas ketua jurulatihnya, Datuk Lim Teong Kim, sebagai ganti rugi atas pemberhentian kerja secara tidak adil.
Jumlah itu dikira berdasarkan baki 16 bulan daripada kontrak tetap dua tahun Teong Kim yang ditamatkan lebih awal pada 24 Mei 2023, kira-kira lapan bulan selepas beliau berkhidmat dengan gaji RM65,000 sebulan.
“Tiada perintah pengembalian jawatan boleh dibuat dalam keadaan ini kerana kontrak itu telah luput tempoh,” kata Pengerusi Mahkamah Persekutuan, Paramalingam dalam keputusan 60 halaman dikeluarkan minggu ini, menerusi laporan Free Malaysia Today.
Menurut Paramalingam, keputusan Perak FC menamatkan kontrak Teong Kim di pertengahan musim atas alasan prestasi pasukan kurang memberangsangkan adalah tidak matang, tidak berasas dan didorong pertimbangan komersial.
Paramalingam turut mendapati, kedudukan kewangan syarikat terjejas oleh ‘kemerosotan prestasi’ Perak FC sebelum pelantikan Teong Kim.
“Ketika pihak syarikat melantik Teong Kim, mereka sedia maklum satu tugas panjang dan sukar untuk mengembalikan kegemilangan kepada bola sepak Perak. Mereka memecatnya sebelum beliau sempat menghasilkan keputusan sepenuhnya,” katanya.
Paramalingam berkata, pihak pengurusan ‘mencari-cari kesalahan’ pada usaha Teong Kim untuk menerapkan disiplin dalam kalangan pemainnya.
Tambah beliau lagi, dakwaan salah laku dikenakan terhadap Teong Kim tidak cukup serius bagi mewajarkan penamatan perkhidmatan.
“Satu amaran terakhir telah diberikan dan Teong Kim diarah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada media,” katanya, di mana Teong Kim sudah mematuhi arahan tersebut.
“Namun, pihak syarikat mengungkit semula isu sama yang dibangkitkan sebagai alasan untuk menamatkan perkhidmatannya,” katanya.
Surat penamatan perkhidmatan hanya menyatakan prestasi pasukan yang tidak memuaskan sebagai alasan pemecatan.
“Ini adalah sesuatu yang sama sekali berbeza dan tidak berkaitan dengan dakwaan awal syarikat mengenai salah laku Teong Kim di hadapan pihak media dan penyokong,” katanya.
Tambah Paramalingam lagi, tindakan syarikat mengungkit semula dakwaan salah laku adalah sama seperti mengenakan hukuman berganda.
“Tindakan pihak syarikat yang mengenakan hukuman berganda harus dibatalkan kerana ia tidak adil dan tidak wajar,” tegasnya.
Teong Kim diwakili peguam Edward Andrew Saw dan Jerry Low, manakala Weera Premananda bertindak bagi pihak Perak FC.
Teong Kim adalah bekas pemain bola sepak profesional yang pernah membuat 60 penampilan bersama skuad kebangsaan antara 1982 hingga 1996.
Beliau memiliki pengalaman lebih dua dekad dalam bidang kejurulatihan, termasuk tempoh perkhidmatan panjang bersama skuad pembangunan Bayern Munich dari 2000 hingga 2012.
Teong Kim juga pernah berkhidmat sebagai pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara dan menjadi jurulatih pasukan kebangsaan bawah 16 tahun (B16).