Pengendali JDT, Juan Miguel Antonio Garcia berpendapat belum masanya untuk memikirkan tentang aksi final meskipun berjaya membawa pulang bekalan dua gol ke atas Pahang Rangers, untuk aksi timbal balik separuh akhir Malaysia Futsal Cup (MFC) 2025.
Kemenangan 5-3 di tempat lawan menyaksikan JDT kini sebelah kaki untuk ke final, tetapi Juan Miguel mengingatkan anak buahnya supaya tidak hilang fokus dengan menyedari Pahang Rangers akan tampil all-out untuk menterbalikkan defisit jaringan.
“Gembira untuk menang sekali lagi di sini (SUKPA), tetapi perlawanan ini belum berakhir. Bekalan dua gol tidak boleh dikatakan selesa, dan kita sedar ini adalah Pahang (Rangers). Pahang sebuah pasukan yang cukup kuat, dengan pemain-pemain yang bagus, sudah tentu mereka tidak akan memberikan kita laluan mudah.
“Kita perlu bersedia untuk satu perlawanan yang lebih mencabar di Johor, jangan terbuai dan kita perlu tingkatkan intensiti. Kita belum lagi layak ke final, dan kita perlu selesaikan tugasan ini tanpa kesilapan,” ujar Juan Miguel.
Nada Juan Miguel jelas cukup berbeza dengan jurulatih Pahang Rangers, Luis Fonseca Cilleros yang berkeyakinan tinggi pasukannya akan mara ke final meskipun membawa misi getir wajib menang dengan tiga jaringan di Pasir Gudang, gelanggang yang mereka tidak pernah menang sebelum ini.
“Saya rasa ini adalah permainan terbaik kami sepanjang berdepan mereka (tahun ini), tetapi keputusan tidak menyebelahi. Untuk aksi timbal balik, kami mempunyai peluang cerah untuk mara sekiranya bermain seperti ini, tetapi dengan lebih tajam di depan gol.
“Kami perlu lebih agresif, menyamai level permainan JDT, mematahkan serangan mereka, lebih direct sama ada dengan atau tanpa bola, dan bermain sebagai satu pasukan. Tahniah kepada pasukan atas prestasi yang baik, dan saya ingatkan mereka kita akan bermain di final,” ujar Fonseca.
Baca Juga: “Walaupun Tewas, Final Akan Menjadi Milik Kami,” Luis Fonseca
Sebagai rekod, Pahang Rangers tidak pernah menang ke atas JDT dalam lima perlawanan terakhir, termasuk perlawanan pada Sabtu lalu. Dalam empat perlawanan liga sebelum ini, mereka tewas kesemuanya dengan jaringan tipis 6-7, 3-4, 5-6 dan 3-4.
Kali terakhir mereka menewaskan JDT adalah dalam aksi final MFC 2023, bangkit daripada ketinggalan untuk menang menerusi penentuan penalti dan bergelar juara.
Perlawanan separuh akhir kedua JDT Futsal dan Pahang Rangers, akan berlangsung pada 17 Ogos nanti.