Kekecewaan tidak dapat disembunyikan pengendali JDT, Juan Miguel Antonio Garcia setelah melihat pasukannya tewas mengejut dan tersingkir daripada saingan Malaysia Futsal Cup, sekaligus gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.
Pengendali dari Sepanyol itu mengakui, seratus peratus kekalahan adalah berpunca daripada kegagalan pasukannya menyaingi aksi bertenaga dan cukup garang Pahang Rangers sejak daripada perlawanan bermula.
Pahang Rangers bertandang ke Pasir Gudang, dengan ketinggalan agregat dua gol, dan memerlukan keajaiban untuk menewaskan JDT – pasukan yang mereka gagal tewaskan sepanjang lima pertemuan lepas – dengan defisit tiga gol.
Tetapi skuad Tok Gajah bimbingan Luis Fonseca, yang juga juara edisi 2023, menterjemahkan antara kebangkitan paling dramatik dalam sejarah saingan dengan meledak lapan gol untuk menang 8-4, dan mara ke final dengan agregat 11-9.
“Kita tahu mereka datang ke sini untuk bangkit, tetapi daripada mengunci ruang, sebaliknya kita membiarkan mereka bermain. Ya saya harus ucapkan tahniah kepada Pahang Rangers, mereka hari ini pasukan yang jauh lebih baik dari koordinasi, pertahanan, serangan, jiwa dan semangat yang ditunjukkan, semuanya tidak dapat kita saingi.
“Pemain-pemain mereka cukup baik, tajam dan pertahanan mereka menyekat kita daripada bermain. Mereka berhak dengan kemenangan ini, kita pula tidak menunjukkan level yang sepatutnya JDT bermain. Apabila kita tidak meningkatkan level ke tahap kita sepatutnya bermain dan sesuai dengan intensiti perlawanan, ianya mudah, kita akan kalah.
“Saya terima kekalahan ini kerana kita tewas kepada pasukan lebih baik walaupun kecewa kita gagal pertahankan kejuaraan,” ujar Juan Miguel.
Walaupun berjaya mengikat kedudukan agregat 8-8 tiga saat sebelum masa sebenar berakhir dan mengheret perlawanan ke masa tambahan, JDT membuat kesilapan demi kesilapan di masa tambahan membolehkan Pahang Rangers menjaringkan tiga gol menerusi import sensasi Felipe de Souza, Harith Naim dan Norakmal Norizal.
Berita Berkaitan: Sekarang Anda Percaya, Kami Lebih Baik Dari JDT?
Kekalahan bermakna ini juga buat pertama kalinya sejak pasukan JDT Futsal ditubuhkan pada 2023, mereka gagal untuk mara ke perlawanan akhir.
Pada musim pertama mereka, skuad Harimau Selatan muncul naib juara setelah tewas menerusi penentuan penalti kepada Pahang Rangers. Kemudian pada 2024, mereka bergelar juara dengan menundukkan Selangor 3-2.
Kini mereka masih berpeluang mengubati kekecewaan dengan beraksi pada perlawanan penentuan tempat ketiga, menentang Sabah pada 23 Ogos nanti.