Tumpuan kini terarah sepenuhnya ke Stadium Tertutup SUKPA di Kuantan, tatkala venue berwajah baru itu sedia menganjurkan pusingan kelayakan Piala Asia Futsal Indonesia 2026 bermula Sabtu.
Skuad kebangsaan Harimau Malaya akan berentap bersama-sama gergasi Asia, Iran, UAE dan Bangladesh untuk memburu tiket ke Jakarta seterusnya menoktahkan penantian lapan tahun bermain di pentas Asia.
Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail mempunyai keyakinan tinggi skuad negara kendalian Rakphol Sainetngam mempunyai rencah diperlukan untuk muncul satu daripada 15 pasukan terbaik di pusingan kelayakan.
“Semuanya dalam landasan yang baik, pasukan telah berlatih bersama kira-kira tiga minggu, dan membuat persiapan intensif di Bangkok.
“Saya telah dapat melihat sendiri sesi latihan dan skuad yang kita senaraikan kali ini juga agak solid. 14 pemain akhir yang dipilih Coach Hamee (Rakphol) adalah yang terbaik dan cemerlang sepanjang saingan MPFL, selain menepati keperluan taktikal beliau.
“Motivasi pemain juga sangat bagus dan mereka sudah tidak sabar untuk turun berjuang. Ditambah dengan kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri, saya yakin peluang kita agak tinggi. Kita boleh lakukannya,” ujar Rosmadi.
Terdahulu FAM pada Khamis mengumumkan senarai akhir 14 pemain yang dipilih membawa cabaran, dengan enam pemain digugurkan daripada senarai awal 20 pemain yang telah menjalani latihan pusat selama tiga minggu.
Tiada kejutan disaksikan, dengan lapan pemain skuad juara Malaysia Premier Futsal League (JDT) dan tiga pemain skuad juara Malaysia Futsal Cup (Selangor) memimpin senarai, dilengkapkan dua pemain Pahang Rangers dan seorang pemain Terengganu.

Dalam pada itu, Rosmadi turut menekankan pentingnya untuk bermula dengan langkah kanan apabila turun berdepan UAE dalam perlawanan pertama pada Sabtu.
“Kita perlu meraih mata maksimum dalam dua aksi pertama, terutama UAE. Ia akan menjadi penentu.
Iran semua tahu akan menjadi lawan paling sukar dengan reputasi mereka sebagai pasukan pilihan dan jaguh Asia, jadi kita perlu elak letakkan diri dalam tekanan,” ujar beliau lagi.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Asia adalah pada edisi 2018 di Taiwan.



