HomeSukanPeter Cklamovski Tiada Masa Untuk Panik

Peter Cklamovski Tiada Masa Untuk Panik

Pengendali skuad bolasepak kebangsaan, Peter Cklamovski menegaskan tumpuan barisan pemain tidak terganggu biarpun sedang berdepan pelbagai isu di luar padang menjelang perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada Khamis.

Bercakap kepada pemberita ketika sidang media di Laos, Cklamovski buat pertama kalinya mengulas isu penggantungan terhadap tujuh pemain negara oleh FIFA, yang menyebabkan Harimau Malaya kehilangan separuh kekuatan.

Menurut pengendali dari Australia itu, pemain menunjukkan mentaliti luar biasa dan menyasarkan tiga lagi mata dapat diraih pada aksi di Stadium National Laos nanti.

“Apa yang berlaku (hukuman FIFA) adalah di luar kawalan kerana tiada apa yang boleh kita lakukan (sebagai pasukan). Daripada berasa cemas atau panik, lebih baik kita letakkan fokus di sini untuk mengharungi aksi menentang Laos.

“Kita juga mahu terus memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia bahawa pasukan ini mampu melakukan sesuatu yang istimewa,” katanya.

Seperti diketahui, Harimau Malaya menerima tamparan hebat selepas tujuh pemain warisan yang menyertai skuad revolusi pada awal tahun ini menerima hukuman FIFA selepas terpalit isu pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain itu adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueireido, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Di sebalik keyakinan dapat meneruskan rentetan kemenangan, Cklamovski berkata mereka tidak boleh mengambil mudah keupayaan Laos walaupun negara itu menduduki ranking ke-185 dunia ketika ini berbanding Malaysia di kedudukan ke-123.

“Saya harap pemain dapat memberikan komitmen penuh pada perlawanan ini kerana Laos adalah pasukan yang sukar.

“Namun, misi kita adalah untuk memastikan perlawanan dapat berakhir tanpa dibolosi selain menjaringkan banyak gol. Saya juga sudah mengatur strategi untuk perangkap pasukan lawan,” katanya.

Skuad negara dijangka tidak berdepan masalah untuk mencapai kemenangan dan berdasarkan rekod pertemuan nyata memihak Malaysia.

Daripada 19 pertembungan sejak 1968, skuad negara terlalu unggul dengan melakar kemenangan sebanyak 13 kali, seri lima kali dan tewas hanya sekali.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error:Content is protected !!