Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat rayuan kepada FIFA berhubung isu pemalsuan dokumen pemain warisan dan keputusan rayuan itu dikatakan akan diketahui pada 30 Oktober.
Sudah beberapa hari berlalu, tiada sebarang pengumuman dibuat FIFA, dan penyokong bolasepak tanah air jelas tidak senang duduk, tertanya-tanya apakah punca kelewatan dan apakah yang bakal diputuskan badan induk itu.
Begitupun, siapa yang memberitahu bahawa keputusan akan diumumkan pada 30 Oktober? Punca kepada segala kekeliruan ini adalah peguam sukan dilantik FAM bagi menghadapi kes ini, Serge Vittoz.
Vittoz ketika sidang media pada 17 Oktober lalu menyatakan keputusan jawatankuasa rayuan FIFA akan diketahui pada 30 Oktober. Sejak itu bermulalah segala penantian penuh debaran.
Sebenarnya, dalam apa-apa dokumentasi yang dikeluarkan oleh FIFA khususnya dalam ‘Motivated Decision’ setebal 19 muka surat tidak dinyatakan secara tepat tempoh garis masa hasil rayuan yang akan diperoleh.
Menurut pengkritik bolasepak terkemuka, Datuk Dr Pekan Ramli, berdasarkan amalan prosedur normal, sesuatu keputusan kadang kala memakan masa kerana ia perlu melalui beberapa peringkat.
“Sebenarnya 30 Oktober (Khamis lalu) adalah bermulanya mesyuarat jawatankuasa rayuan dan bila habis mesyuarat tak boleh lah terus-terus bercakap (mengumumkan hasil) atau dapat keputusan.
“Ini bukan mesyuarat ‘level’ biasa, ini mesyuarat tertinggi. Bila dah dapat keputusan, ia perlu dikarang dulu, atau di draf atau dibukukan dulu.
“Kemudian ia perlu pula mendapatkan pengesahan pula. Proses pengesahan itu perlu diteliti kembali oleh pengerusi dan ahli-ahli (Jawatankuasa Rayuan), kalau ada butiran yang nak diterbitkan itu atau nak dimaklumkan dan ada kesilapan mereka akan perbetulkan semula.
“Jadi bila dah selesai semua, barulah ia akan dikongsikan. Ia bukan mesyuarat, mesyuarat, mesyuarat dan terus nak buat kenyataan media,” kata Pekan.
Pekan yang turut berpengalaman sebagai wartawan sukan selama lebih dua dekad turut meminta penyokong bersabar menantikan keputusan dan menghentikan segala spekulasi, selain tidak mempercayai bulat-bulat maklumat yang tidak sahih.
“Kena faham, apabila masuk ke peringkat rayuan tidak akan ada bukti-bukti baharu yang akan dikemukakan. Mereka (jawatankuasa rayuan) hanya melihat berasaskan dokumen yang mereka dan FAM berikan, itu saja,” katanya.



