Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang menuju ke Kongres Tahunan paling penting dalam beberapa tahun pada Februari ataupun Mac depan.
Tetapi ramai daripada ahli gabungannya sendiri masih tidak mengetahui peraturan yang mengawal mereka — satu situasi yang mereka percaya dilakukan secara sengaja.
Bekas ketua pemasaran FAM, Sayf Ismail, mendakwa badan induk itu beroperasi dengan apa yang dipanggilnya sebagai “buku panduan rahsia” — satu set Peraturan Organisasi (OR) yang tidak diterbitkan dan berada di luar statut rasmi yang tersedia secara umum.
Menerusi laporan disiarkan Timesport, Sayf mendakwa buku peraturan tersembunyi itu membenarkan jawatankuasa eksekutif (exco) menambah atau mengubah peraturan tanpa disemak.
“OR itu baru-baru ini dikemas kini dan mengandungi peruntukan yang tiada dalam statut. Saya cuba mendapatkan salinannya. Ia tidak ada di laman web dan tiada siapa yang mahu berkongsi.
“Para ahli akan memasuki Kongres tanpa mengetahui keseluruhan buku peraturan. Jika Kongres ini mahu kredibel, OR mesti didedahkan kepada umum,” tegasnya.
Sayf berkata isu tersebut bukan sekadar dokumen yang tidak diterbitkan, tetapi lebih besar daripada itu. Beliau percaya bola sepak Malaysia telah jatuh ke tahap paling rendah, dan FAM mesti akhirnya berdepan tuntutan akauntabiliti dan standard tadbir urus moden yang sebenar.
“FAM mengurus sukan No. 1 di Malaysia dan menerima dana awam. Ia sepatutnya diurus seperti syarikat tersenarai.
“Itu bermaksud laporan kewangan penuh, pengisytiharan jelas mengenai imbuhan exco, serta pecahan telus bagaimana wang pembayar cukai digunakan — ke mana ia dibelanjakan dan berapa jumlahnya,” katanya.
Beliau juga menggesa rombakan besar-besaran terhadap statut, dengan berhujah bahawa sistem sedia ada, yang dikawal oleh 20 ahli gabungan, menutup pintu kepada komuniti bolasepak yang lebih luas.
“Ekosistem ini jauh lebih besar daripada 20 pengundi. Pemilihan mesti lebih inklusif, peranan mesti ditakrif dengan jelas, dan setiap ahli exco mesti mempunyai terma rujukan yang betul. Ini asas tadbir urus,” ujar Sayf.
Namun, bukannya reformasi, Sayf mendakwa FAM semakin mengukuhkan kawalan terhadap naratif, terutamanya selepas skandal FIFA-FAM baru-baru ini.
“Untuk mengharapkan mereka di dalam FAM berubah sekarang adalah tidak realistik. Pemilihan tahun ini penuh isu — pencalonan meragukan, penggantungan, malah surat layang — dan tiada satu pun ditangani dengan baik.
“Kini kita berdepan skandal terbesar dalam sejarah bolasepak Malaysia, dan masih tiada ahli gabungan yang mempersoalkan pimpinan mereka.”
Beliau percaya saga FIFA itu telah menenggelamkan perbincangan penting mengenai pembaharuan kepimpinan dan struktur menjelang Kongres.
“FIFA sendiri berkata FAM menggunakan taktik PR untuk mengalihkan perhatian. Hanya orang ramai yang berdebat mengenai perubahan. Mereka di dalam masih berdiam diri.”
Sayf berkata kelompongan dalam OR — yang membenarkan exco mengubah peraturan secara senyap — mesti ditutup segera.
“Kongres mesti menuntut OR didedahkan kepada umum atau dimansuhkan. Ia tidak boleh wujud sebagai buku peraturan rahsia yang mengawal organisasi berkepentingan awam.”
Beliau berhujah bahawa bertahun-tahun pengawasan lemah dan kekurangan ketelusan telah diselindungi oleh detik-detik kejayaan terpencil seperti kelayakan Piala Asia atau keputusan dramatik menentang Korea Selatan tahun lalu.
“Mereka yang menderita bukanlah pemegang jawatan, tetapi ribuan pemain muda yang impian mereka bergantung pada sistem yang tidak berfungsi.”
Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA), Datuk Jeffrey Low, turut menyuarakan kebimbangan yang sama.
Seorang bekas ahli exco FAM mengingatkan bahawa pada Kongres FAM ke-61 awal tahun ini, MCFA cuba mendapatkan semula borang pencalonan yang mereka tidak berpuas hati dengannya tetapi tidak dibenarkan.
Negeri Sembilan dan beberapa ahli gabungan lain turut berdepan masalah sama.
“Harap perkara ini tidak berulang. Ia mesti adil. Biarkan ahli gabungan memilih dengan bebas. Mereka memang tidak berpuas hati,” katanya.
Pada Januari lalu, Timesport melaporkan bahawa Jeffrey berang selepas mendapati borang pencalonan untuk pemilihan FAM telah dihantar menggunakan namanya tanpa pengetahuan beliau.
Menggelarnya sebagai “aturan pintu belakang”, beliau menarik semula borang itu dan memberi amaran bahawa ahli gabungan tidak mudah dimanipulasi.
Memandangkan Kongres semakin hampir, persoalan utama kekal: Adakah ahli gabungan akhirnya akan menuntut ketelusan? Atau adakah bola sepak Malaysia akan terus ditadbir oleh peraturan yang kebanyakan ahlinya sendiri tidak dapat lihat?



