HomeSukanFAM Ambil Serius Kemungkinan Akan Digantung FIFA

FAM Ambil Serius Kemungkinan Akan Digantung FIFA

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusof Mahadi menegaskan kenyataan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John yang tidak menolak kemungkinan badan induk itu boleh digantung FIFA ekoran kelemahan urus tadbir perlu diambil serius.

Justeru fokus FAM kini terarah sepenuhnya kepada langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelak daripada digantung. Yusoff bimbang jika perkara tersebut berlaku, ia boleh menjejaskan ekosistem bola sepak negara.

Yusoff juga sedar walaupun pendengaran kes membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya yang digantung FIFA sudah dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), sebarang keputusan tidak akan membawa apa-apa kesan.

“Sekarang kita nak fikirkan mengenai kenyataan Datuk Windsor itu lebih kita menitik beratkan. Sebab apapun keputusan CAS, FIFA ada hak untuk gantung kita ke, atau apa ke berdasarkan pandangan FIFA sendiri.

“Tanpa memikirkan soal CAS lagi, yang kita kena fikirkan supaya FAM ini jangan sampai kena gantung,” katanya yang memikul tanggungjawab selaku pemangku selepas Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub melepaskan jawatannya Ogos tahun lalu.

Antara pilihan yang ada bagi menyelamatkan FAM daripada digantung adalah dengan cara memulihkan urus tadbir dalaman bagi menarik semula kepercayaan FIFA terhadap FAM.

Untuk itu, cadangan paling ideal ialah dengan semua barisan Exco FAM meletakkan jawatan dan pemilihan baharu perlu diadakan bagi menyusun, menstruktur dan mengambil langkah-langkah pembetulan dengan segera.

Sebelum ini, imej FAM tercalar di mata dunia apabila FIFA mengenakan denda dan penggantungan kepada tujuh pemain Harimau Malaya yang didakwa memalsukan dokumen kelahiran dan susur galur untuk mewakili Malaysia.

Selain penggantungan selama 12 bulan dan denda ke atas pemain, FAM turut didenda serta FIFA juga mendedahkan wujud kelemahan ketara dalam urus tadbir dalaman hingga membawa kepada isu pemalsuan dokumen itu.

FIFA turut mencadangkan supaya FAM segera melakukan siasatan dalaman ke atas beberapa individu termasuk Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Rahman selain membuat laporan polis berhubung pemalsuan dokumen yang disifatkan sebagai satu jenayah terancang.

RELATED ARTICLES

Most Popular