Penjaga gol Sri Pahang FC, Azfar Arif Mohd Sukri merupakan salah seorang graduan di hari Konvokesyen ke-100 Universiti Teknologi Mara yang berlangsung pada 14 November.
Azfar Arif, penuntut Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi di UiTM Shah Alam, berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dengan Kepujian.
Satu pencapaian yang membanggakan, semoga ia akan menjadi inspirasi buat bukan sahaja pemain bolasepak, tetapi juga atlet-atlet lain supaya cemerlang dalam kedua-dua sukan dan juga akademik.
Baca juga: Wan Rohaimi, Antara Jurulatih Terbaik Pernah Dilahirkan NFDP
Kekangan Masa, Masuk Kelas Zoom, Google Meet
Baca perkongsian Azfar Arif bagaimana dia membahagikan masa antara karier sebagai pemain dan penuntut.
“Fakulti saya di UiTM Shah Alam. Masa tahun 2023, saya sertai Penang FC. Jadi disebabkan saya kena tinggal jauh di Pulau Pinang, tak boleh hadir ke kelas secara face to face.
“Tapi saya tidak menjadikan itu alasan untuk bersikap sambil lewa sebaliknya tetap berusaha mengikuti perkembangan pembelajaran.
“Saya belajar sendiri, masuk kelas secara online melalui Zoom dan Google Meet kerana kekangan masa. Saya sentiasa berhubung dengan pensyarah selain kerap bertanya kepada rakan-rakan supaya tidak ketinggalan.
“Bagi saya tidak mustahil bila ada kemahuan kerana paling penting adalah bagaimana seseorang itu mengimbangkan diri, menguruskan masa apabila berstatus atlet dan juga pelajar,” ujar pemain berusia 25 tahun itu.
Azfar Arif Kuat Walaupun Hampir Give-Up
Azfar turut mengakui dia pernah rasa nak give up namun menguatkan mental dan disiplinnya untuk terus melangkah.
“Saya pernah rasa nak give up sebab apabila masuk kelas, rasa macam zero knowledge. Tapi Alhamdulillah ada kawan-kawan dan supervisor yang selalu bantu saya untuk catch up.
“Kalau ada yang saya tak faham, pensyarah dan kawan-kawanlah yang selalu bantu saya. Apa yang saya boleh kata adalah jangan mudah give up, mental dan disiplin kena kuat.
“Bila lost, carilah bantuan. Masa main, main. Masa belajar, belajar,” ujarnya yang mempunyai impian menjadi jurulatih selain membantu perniagaan keluarganya pada masa depan.
Azfar Arif adalah pemain kelahiran Terengganu yang memulakan kariernya bersama UiTM FC pada 2020. Kemudiannya dia pernah bersama PJ City (2022), Penang FC (2023) dan musim ini menyertai Sri Pahang.