HomeSukanHarimau Malaya Kena Tunggu Kata Putus FIFA

Harimau Malaya Kena Tunggu Kata Putus FIFA

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kena tunggu kata putus FIFA, sama ada tujuh pemain warisan boleh menyarung jersi Harimau Malaya berikutan Pelaksanaan Penangguhan Hukuman.

Menurut Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, biarpun Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman (stay of execution) namun status kebenaran beraksi buat Malaysia dalam aksi antarabangsa perlu mendapatkan butiran penuh daripada FIFA.

“Kita pun buat masa ini sedang berbincang dengan FIFA untuk mendapat maklumat yang lebih terperinci berhubung dengan status pemain-pemain ini, sama ada boleh bermain untuk pasukan kebangsaan.

“Apa yang kita tahu, pemain-pemain ini dapat beraksi untuk kelab. Namun, sama ada mereka boleh beraksi dalam pasukan kebangsaan, kita masih lagi menunggu maklumat yang lebih terperinci daripada FIFA.

“CAS belum membuat keputusan muktamad dan penangguhan pelaksanaan ini boleh disamakan seperti ikat jamin yang membolehkan pemain kembali beraksi buat sementara waktu. Keputusan akhir mungkin hanya dikeluarkan pada Februari atau Mac.

“CAS memang membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap tujuh pemain itu, namun kami tidak jelas dengan butiran terperinci kerana tiada dokumen rasmi diterima.

“Tanggungjawab sepenuhnya terletak kepada FAM sekiranya mereka mahu menurunkan pemain ini bersama pasukan kebangsaan. Memandangkan FIFA sebelum ini membatalkan keputusan perlawanan persahabatan Malaysia, situasi ini boleh menjadi berisiko jika pemain diturunkan tanpa kejelasan mutlak,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, kesemua tujuh pemain berkenaan menjalani latihan bersama kelab dan beraksi dalam saingan domestik dibenarkan.

Paling lega, sudah tentunya JDT yang kini boleh menggunakan khidmat Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dalam kempen Liga Juara-Juara AFC Elite.

“Saya tidak melihat sebarang masalah untuk kelab dalam kejohanan AFC kerana tiada kuota kewarganegaraan dalam pendaftaran pemain,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular