Jurulatih Senegal, Pape Thiaw, digantung lima perlawanan oleh Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) susulan insiden kecoh pada final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) menentang Maghribi pada 18 Januari lalu, umum CAF pada Rabu.
Dalam satu kenyataan, CAF memaklumkan Thiaw didapati bersalah atas kesalahan “kelakuan tidak beretika” dan “mencemarkan imej permainan” dalam perlawanan yang dimenangi Senegal 1-0 selepas masa tambahan.
Dua penyerang Senegal yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris, Iliman Ndiaye dan Ismaila Sarr, turut dikenakan penggantungan dua perlawanan atas kesalahan “kelakuan tidak beretika terhadap pengadil”.
Persekutuan Bola Sepak Senegal (FSF) pula didenda keseluruhan AS$615,000 atas pelbagai kesalahan yang berlaku pada perlawanan akhir tersebut.
Antara kesalahan yang dinyatakan ialah “kelakuan tidak beretika pemain dan staf teknikal” yang melanggar prinsip fair play, kesetiaan dan integriti seperti termaktub dalam Kod Tatatertib CAF.
Manakala di pihak Maghribi, penyerang Ismael Saibari digantung tiga perlawanan dan didenda AS$100,000 atas kesalahan “kelakuan tidak beretika”, manakala kapten pasukan Achraf Hakimi digantung dua perlawanan.
Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi (FRMF) turut didenda AS$200,000 atas “kelakuan tidak wajar ball-boy (budak Milo) di stadium.” Tambahan denda AS$100,000 dikenakan atas “kelakuan tidak profesional” pemain dan staf teknikal yang menceroboh kawasan semakan VAR dan menghalang tugas pengadil dari Congo.
Satu lagi denda AS$15,000 dikenakan selepas penyokong Maghribi menggunakan laser untuk mengganggu pemain Senegal, menjadikan jumlah keseluruhan denda kepada AS$315,000.
Final AFCON itu menyaksikan beberapa detik dramatik bermula pada penghujung masa sebenar apabila gol Ismaila Sarr dibatalkan kerana kekasaran terhadap Hakimi, yang juga Pemain Terbaik Afrika 2025.
Insiden Kekecohan
Maghribi kemudian dihadiahkan sepakan penalti apabila bintang mereka, Brahim Diaz, dikasari, sekali gus mencetuskan protes hebat daripada pemain Senegal.
Rakaman siaran televisyen menunjukkan Thiaw membuat isyarat ke arah pemainnya, yang ditafsirkan sebagai arahan supaya mereka meninggalkan padang.
Sebahagian besar pemain Senegal meninggalkan padang dan masuk ke bilik persalinan, namun bintang utama Sadio Mane tidak mengikut mereka dan kemudiannya berjaya memujuk rakan sepasukan untuk kembali ke padang agar perlawanan dapat diteruskan.
Maghribi gagal menyempurnakan sepakan penalti yang tertangguh lama itu apabila sepakan lemah Diaz berjaya diselamatkan penjaga gol Senegal, Edouard Mendy. Perlawanan kemudian berlanjutan ke masa tambahan sebelum Pape Gueye menjaringkan gol kemenangan untuk menghadiahkan kejuaraan AFCON kedua buat Senegal.
Ketika permainan terhenti akibat penalti yang dipertikaikan itu, beberapa penyokong Senegal membaling objek ke dalam padang, manakala ada yang menceroboh padang sebelum pihak polis dan keselamatan campur tangan.
Penggantungan terhadap Thiaw dan empat pemain tersebut hanya melibatkan perlawanan anjuran CAF dan tidak menjejaskan persiapan Senegal serta Maghribi untuk Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Senegal berada dalam Kumpulan I bersama Perancis, Norway dan pemenang play-off antara benua melibatkan Bolivia, Suriname dan Iraq.
Maghribi pula, yang mencipta sejarah pada 2022 sebagai negara Afrika atau Arab pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia, akan beraksi dalam Kumpulan C bersama Brazil, Scotland dan Haiti.
Thiaw akan dilarang berada di bangku simpanan bagi lima daripada enam perlawanan kelayakan AFCON 2027 yang melibatkan Senegal pada September, Oktober dan November. Para pemain yang digantung akan terlepas dua perlawanan kelayakan pertama.



