HomeSukanCAS: Pembatalan Keputusan Perlawanan Boleh Berlaku Lagi

CAS: Pembatalan Keputusan Perlawanan Boleh Berlaku Lagi

Pasukan yang sudahpun menurunkan pemain warisan selepas mereka diberikan ‘pelepasan’ daripada hukuman gantung 12 bulan, perlu menerima sekiranya pembatalan keputusan perlawanan berlaku selepas ini.

Pegawai komunikasi Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS), Vanessa Tracey, menekankan bahawa keputusan Penangguhan Pelaksanaan Hukuman terhadap tujuh pemain itu bersifat sementara dan belum membuktikan mereka tidak bersalah.

Justeru, keputusan CAS pada 26 Februari akan menentukan segalanya. Jika disahkan tidak bersalah, maka ia satu kelegaan besar. Tetapi jika bersalah, kelab terdedah kepada risiko peraturan (pemotongan mata) di bawah kod tatatertib FIFA.

Artikel 19 menyatakan bahawa jika seorang pemain tidak layak mengambil bahagian dalam perlawanan rasmi, pasukan yang melakukan kesalahan itu akan dianggap kalah 3-0, melainkan keputusan asal adalah lebih buruk.

Peruntukan tersebut terpakai ke atas semua pertandingan yang disahkan FIFA, termasuk liga domestik dan kejohanan benua. Penangguhan pelaksanaan hukuman (stay of execution) yang diberikan pada 26 Januari tidak akan merubah peraturan tersebut.

Sehubungan itu, kelab yang menurunkan pemain-pemain ini berbuat demikian dengan kesedaran bahawa keputusan tidak memihak pada masa depan boleh membawa kepada hukuman retrospektif serta pembatalan keputusan perlawanan.

Setakat ini, JDT telah menurunkan tiga pemain warisan – Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel – ketika menewaskan Shan United dalam perlawanan Kejuaraan Kelab ASEAN. Manakala Facundo Garces juga sudah diturunkan kelabnya Deportivo Alaves, masuk sebagai pemain gantian ketika mereka menewaskan Espanyol 2-1 dalam aksi La Liga.

Setiausaha Agung FIFA, Datuk Windsor Paul menegaskan sebaik sahaja penangguhan diberikan, tanggungjawab terletak sepenuhnya ke atas kelab dan pemain.

“Tanggungjawab sentiasa terletak pada kelab dan pemain. Penganjur tidak mengambil risiko. Kelab mengambil risiko dan mereka sedar hakikat itu. AFC tidak akan memperkenalkan peraturan khas untuk melindungi kelab dan akan terus beroperasi mengikut peraturan sedia ada AFC dan FIFA,” ujar Windsor.

RELATED ARTICLES

Most Popular