Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, mahu penjelasan daripada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) ketika pasukannya membuat persiapan menghadapi perlawanan penentuan Kumpulan B Kejohanan Kelab ASEAN menentang wakil Vietnam, Nam Dinh, di Stadium Thien Truong esok.
Munoz berkata JDT menyasarkan kemenangan ke atas Nam Dinh bagi menamatkan saingan sebagai juara kumpulan, meskipun keputusan seri sudah memadai untuk melayakkan diri ke separuh akhir. Ketika ini, Nam Dinh mendahului Kumpulan B dengan 12 mata, manakala Harimau Selatan di tempat kedua dengan ketinggalan dua mata.
Bagaimanapun, Munoz mengakui keliru dengan kekurangan penjelasan daripada jawatankuasa pertandingan AFF susulan penangguhan perlawanan antara wakil Kemboja, PKR Svay Rieng, dan kelab Thailand, Bangkok United.
Perlawanan Svay Rieng menentang Bangkok United yang dijadualkan berlangsung pada 29 Januari di Stadium Morodok Techo, Phnom Penh, telah ditangguhkan oleh AFF selepas kelab Thailand itu enggan berkunjung ke Phnom Penh atas faktor keselamatan susulan konflik sempadan antara kedua-dua negara.
“Terdapat kekeliruan selepas perlawanan melibatkan kelab Kemboja dan Thailand itu tidak dimainkan. Adakah Svay Rieng akan diberikan kemenangan 3-0 secara walkover selepas pasukan lawan gagal hadir, atau adakah perlawanan itu hanya ditangguhkan? Kami tidak tahu keputusannya. Mungkin penganjur mempunyai penyelesaian untuk isu ini.
“Kami mahukan penjelasan kerana perlawanan kami menentang kelab Vietnam akan menentukan kedudukan tempat kedua, sedangkan kelab Kemboja dan Thailand masih mempunyai satu perlawanan tertangguh. Kami tidak tahu bagaimana akhirnya,” katanya.
Mengenai persiapan JDT menentang Nam Dinh, bekas pengurus Sheffield Wednesday itu berkata meskipun berdepan jadual perlawanan yang padat, objektif utama tetap untuk meraih tiga mata penuh.
“Sudah tentu akan ada sedikit penggiliran pemain kerana kelab Vietnam itu mempunyai pemain berkualiti, dan hampir mustahil untuk menurunkan barisan pemain JDT yang sama selepas beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi hanya tiga hari sebelum ini (dalam M-League), kerana ia boleh menjejaskan rentak pasukan.
“Saya menjangkakan perlawanan berintensiti tinggi dan kami perlu berwaspada terhadap beberapa pemain Vietnam yang beraksi pada tempo pantas,” kata Munoz.



