Malaysia sepatutnya meraikan kemunculan seorang juara baharu dalam sukan renang wanita, namun sebaliknya ia menjadi keuntungan buat Ireland.
Lottie Cullen, yang kini memegang rekod kebangsaan Ireland bagi acara kuak lentang, kembali ke Kuala Lumpur minggu ini dan mempamerkan kelas tersendiri apabila memenangi acara 200 meter kuak lentang wanita dalam kategori 19 tahun ke atas dan Terbuka.
Mewakili negeri asal ibunya, Perak, Cullen mencatat kemenangan selesa dengan catatan masa 2:14.47 saat pada Malaysia Invitational Age Group Swimming Championship di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil pada Khamis (5 Februari).
Point of View jika dia mewakili Malaysia: Catatan masa Cullen itu sebenarnya sudah memadai untuk menghadiahkan Malaysia pingat emas di Sukan SEA Thailand, di mana perenang tuan rumah, Mia Millar, muncul juara dengan masa 2:14.95s.
Cullen, yang dibesarkan di Ipoh, berhijrah ke Ireland pada usia 10 tahun.
Walaupun pada awalnya menyimpan impian untuk mewakili negara kelahirannya, kekangan peraturan kewarganegaraan ketika itu menjadikan laluan tersebut sukar.
“Semasa kecil, saya benar-benar mahu mewakili Malaysia. Ibu saya berasal dari Ipoh tetapi saya dilahirkan di luar Malaysia. Kami telah mencuba banyak kali untuk mendapatkan pasport Malaysia, namun prosesnya agak sukar ketika itu.”
“Namun apabila saya semakin berkembang sebagai perenang di Ireland, saya mula berasa lebih ‘Irish’ dari sudut sukan,” katanya dalam laporan The Star Sports.
Walaupun kini menyarung jersi hijau Ireland di pentas dunia, Cullen tetap mengekalkan hubungan yang mendalam dengan Malaysia.
Beliau menyifatkan komuniti renang tempatan sebagai sangat mesra dan sempat meluangkan masa bersama kontinjen Malaysia ketika Sukan Universiti Dunia Rhine-Ruhr 2025.
Di luar kolam renang, identiti Malaysia Cullen paling terserlah melalui kecintaannya terhadap makanan tempatan.
“Saya makan roti canai setiap pagi untuk sarapan sejak berada di sini. Selain itu, char kuey teow dan wan tan mee. Saya pasti akan merindui semua ini apabila pulang ke Belfast,” ujar Cullen, yang kini mengikuti pengajian Perakaunan di Universiti Ulster, Belfast.
Cullen sebelum ini mencipta rekod kebangsaan Ireland bagi acara 100 meter kuak lentang kolam pendek dengan masa 56.96s, selain memenangi pingat emas acara 50m dan 100m kuak lentang pada Kejohanan Sukan Universiti dan Kolej Britain (BUCS).
Beliau turut menamatkan saingan di tempat ke-13 acara 200m kuak lentang (2:05.57s) pada Kejohanan Dunia Kolam Pendek 2024 di Budapest dan kekal sebagai aset penting pasukan kebangsaan Ireland.
“Sasaran jangka pendek saya adalah Sukan Komanwel dan Kejohanan Eropah pada musim panas ini. Untuk jangka panjang, saya benar-benar mahu berada di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.”



