HomeSukanIzinkan Saya Bersihkan FAM - Megat Shahriman

Izinkan Saya Bersihkan FAM – Megat Shahriman

Tiada sebarang kepentingan peribadi, sebaliknya didorong rasa tanggungjawab untuk pulihkan semula imej dan maruah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tercalar teruk.

Itu sebab utama Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menawarkan diri mahu bertanding merebut jawatan di dalam badan induk itu.

Beliau yang merupakan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), percaya jaringan hubungan luas yang dimilikinya di dalam dan luar negara mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula bola sepak tanah air.

Ujarnya, kekuatan hubungan antarabangsa amat penting bagi membuka peluang kerjasama strategik termasuk dari aspek pembangunan, pendedahan serta pemindahan ilmu.

“Saya mempunyai kenalan ramai di luar dan di dalam negara dan dengan menggunakan hubungan baik itu, saya percaya imej FAM boleh dipulihkan.

“Banyak perkara perlu dibuat dan diperbaiki jika diberikan tanggungjawab memegang jawatan dalam FAM kerana bola sepak negara memerlukan hala tuju yang lebih jelas dan berwibawa.

“Ini soal amanah dan masa depan sukan paling popular di negara ini. Oleh itu, saya bersedia untuk bertanding jika dicalonkan kelak,” katanya sepertimana dilaporkan Arena Metro.

Megat D Shahriman turut menegaskan tentang perlunya ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan FAM bagi mengembalikan kepercayaan peminat serta pihak berkepentingan.

“Struktur pengurusan perlu diperbetulkan dan disusun semula supaya lebih telus, berakauntabiliti dan profesional. Kepercayaan rakyat hanya boleh dikembalikan jika tadbir urus dilaksanakan dengan betul,” katanya yang juga Ahli Lembaga Pengurus International Federation of Celebral Palsy Football (IFCPF).

Selain itu, Megat D Shahriman turut menekankan rombakan menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan perubahan sebenar dapat direalisasikan.

“Kita kena ubah semua dan beri peluang kepada orang baharu untuk memimpin serta membawa idea segar. Daripada situ kita boleh melihat perubahan besar berlaku dalam bola sepak negara. Jangan ada lagi individu yang mempunyai kepentingan peribadi terus duduk di kerusi empuk FAM,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular