Culas dalam menyelesaikan bayaran secara berperingkat yang dijanjikan kepada Ivan Mamut dikatakan sebagai sebab mengapa Terengganu FC dikenakan sekatan perpindahan FIFA sekali lagi.
Kelab pantai timur itu dikenakan larangan pendaftaran pemain baru selama tiga jendela, berkuatkuasa 9 Februari iaitu lapan hari selepas jendela perpindahan kedua Liga Malaysia ditutup.
Menurut laporan Timesport, satu dokumen Tribunal Bola Sepak FIFA yang bocor telah mendedahkan perincian kontrak antara pemain Croatia berusia 29 tahun itu dengan pengurusan Terengganu. Dokumen tersebut memperincikan rangka kerja kontrak yang merangkumi gaji bulanan, elaun penginapan, kenderaan, serta faedah tiket penerbangan tahunan bagi pemain dan keluarganya.
Berdasarkan alasan bertulis FIFA itu, Mamut dan Terengganu pada mulanya bersetuju dengan surat tawaran bertarikh 14 November 2022 yang menetapkan nilai keseluruhan kontrak sebanyak RM995,000 bagi musim 2023.
Perjanjian tersebut turut melibatkan gaji bulanan sebanyak RM83,000, elaun rumah (RM2,000), elaun pengangkutan (RM1,000) serta yuran pendaftaran (signing fee) yang dihadkan kepada sebulan gaji.
Walau bagaimanapun, satu kontrak penggajian rasmi yang menyusul pada 1 Januari 2023 menetapkan Mamut layak menerima RM26,616 kasar sebulan berserta bayaran tambahan lain yang telah dipersetujui. Percanggahan dan kegagalan melunaskan bayaran penuh inilah yang menjadi punca Mamut memfailkan tuntutan kepada FIFA.
Seorang sumber memberitahu Timesport bahawa kelab itu kini sedang berusaha menyelesaikan tunggakan tersebut secara ansuran. “Pembayaran secara berperingkat sedang dibuat kepada Mamut dan pihak pengurusan menyasarkan untuk menyelesaikan semua tunggakan sebelum jendela perpindahan musim 2026-2027 dibuka,” jelas sumber tersebut pada Sabtu.
Walaupun pihak pengurusan masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi, usaha dalaman kini difokuskan sepenuhnya untuk membersihkan nama kelab daripada sekatan tersebut sebelum tempoh pendaftaran pemain yang akan datang bermula.



