HomeSukanLiek Hou Atasi Rekod Gelaran Dunia Milik Nicol David

Liek Hou Atasi Rekod Gelaran Dunia Milik Nicol David

Cheah Liek Hou melakar kemenangan berganda penuh bersejarah pada Kejohanan Para Dunia di Bahrain, pada Sabtu lalu.

Pemain berusia 38 tahun itu merangkul gelaran dunia ke-15 dan ke-16 di Isa Sports City, Manama, hanya beberapa minggu selepas terlepas dua pingat emas di Sukan Para ASEAN (APG) Thailand.

Liek Hou sebelum ini menyatakan beliau bergelut dengan proses pemulihan dan keletihan melampau ketika di Nakhon Ratchasima, selain mengakui faktor usia menjadi cabaran besar apabila berdepan lawan yang lebih muda.

Masalah kurang tidur, faktor pemakanan yang tidak sesuai, serta kemudahan yang kurang memuaskan sepanjang APG turut mengganggu persediaan beliau waktu itu.

Situasi tersebut mendorong pemenang pingat emas Paralimpik dua kali itu untuk tidak terlalu memaksa dirinya, memandangkan Kejohanan Dunia dijadualkan berlangsung hanya beberapa hari selepas itu.

Strategi tersebut ternyata berkesan apabila Liek Hou terlebih dahulu merangkul gelaran perseorangan lelaki SU5 yang kesembilan selepas menewaskan pemain nombor tiga dunia dari Taiwan, Fang Jen Yu, dengan keputusan 21-6, 21-11.

Kemenangan itu menjadikan beliau rakyat Malaysia pertama yang berjaya meraih sembilan gelaran dunia dalam acara perseorangan, sekali gus mempertahankan mahkota yang dimenanginya di Pattaya dua tahun lalu.

Pencapaian luar biasa ini juga meletakkan Liek Hou sebagai atlet paling berjaya Malaysia dalam acara individu, mengatasi rekod gelaran dunia individu milik legenda skuasy, Datuk Nicol David.

“Gelaran ini sangat penting bagi saya kerana saya berjaya mempertahankannya dan menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi sembilan gelaran dunia,” ujarnya.

Liek Hou kemudiannya kembali ke gelanggang untuk melengkapkan gelaran beregu lelaki SU5 yang ketujuh buat dirinya.

Berpasangan dengan Muhammad Faris Ahmad Azri, pasangan nombor 28 dunia itu menewaskan wakil Taiwan, Fang Jen Yu-Pu Gui Yu, 23-21, 21-13.

“Saya sangat bangga dengan diri saya kerana berjaya mengekalkan tahap kecergasan sepanjang enam atau tujuh hari pertandingan, selain menggunakan strategi yang tepat dalam kedua-dua aksi final,” katanya lagi.

RELATED ARTICLES

Most Popular