Pengendali Terengganu FC, Tengku Hazman Raja Hassan menolak tanggapan pasukannya cuba untuk main bertahan selepas menjaringkan satu gol, sekaligus menjadi punca mereka tewas kepada KL City dan tersingkir daripada saingan Piala Malaysia.
Terengganu beroleh kelebihan menerusi jaringan Akhyar Rashid pada minit ke-20 namun gagal mencari jaringan tambahan selepas itu. Tatkala KL City pula bangkit di lewat permainan menerusi jaringan Victor Ruiz (m-78) dan Paolo Josue pada minit ke-90 sekaligus menghantar pasukan itu ke semifinal dengan agregat 3-2.
Menurut Tengku Hazman, kekalahan pasukannya didorong oleh kekurangan pengalaman pemainnya menyerap tekanan terutama dalam 20 minit terakhir.
“Mungkin selepas pertukaran dilakukan, pemain yang baru masuk belum lagi dapat menyesuaikan diri (settle down) dan kita membuat kesilapan daripada situ. Jadi apabila perkara itu berlaku, kita nampak barisan pertahanan kita agak kelam kabut dan ini lebih kepada pengalaman.
“Pada minit-minit terakhir itu, saya nampak peluang kami seperti hilang sekelip mata. Itu 20 minit terakhir yang sangat penting. Kalau dibandingkan dengan pemain KL City, kita nampak tak dapat mengendalikan beberapa situasi penting dan ia memusnahkan peluang kita untuk mara.
Mengulas lebih lanjut, Tengku Hazman berkata: “Sebenarnya kita bukan nak mempertahankan satu gol itu. Kita dah tahu kita ada pemain yang agak terhad, Careca tak dapat diturunkan. Jadi kita hanya ada pemain tempatan untuk menggantikan di bahagian depan dan saya cuba untuk menyerap tekanan seberapa lama mungkin pada separuh masa pertama.”
“Apa sekalipun kita kena terus melangkah. Saya sudah beritahu Piala Malaysia sudah habis dan sekarang kita fokus kepada Piala Liga. Kita belajar daripada perlawanan ini kerana beberapa pemain muda masih kurang pengalaman dalam mengendalikan tekanan di pentas besar seperti ini,” katanya.
Kekalahan di pentas suku akhir kali ini, bermakna Terengganu buat pertama kalinya gagal mara ke separuh akhir Piala Malaysia sejak tahun 2019.



