HomeSukanDari LBR Kini 'Top Four' Piala Malaysia, Kuching City Luar Biasa

Dari LBR Kini ‘Top Four’ Piala Malaysia, Kuching City Luar Biasa

Daripada saingan divisyen keempat hinggalah ke separuh akhir Piala Malaysia, pencapaian Kuching City boleh disifatkan sebagai sesuatu yang menakjubkan.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu menewaskan Brunei 3-1 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Sabtu, sekali gus mengesahkan kemenangan agregat 6-2.

Ditubuhkan 11 tahun lalu, Kuching City dahulunya hanya bersaing dalam Liga Bola Sepak Rakyat—kini berjaya menempatkan diri dalam kalangan empat pasukan terakhir buat julung kalinya bagi memburu salah satu trofi tertua di Asia.

Di awal kemunculan Kuching City, ramai yang beranggapan mereka hanyalah kelab mi segera yang akan hilang selepas beberapa musim. Apatah lagi kelab ini tidak dimiliki kerabat diraja, mereka tiada dana yang mewah mahupun kekuatan kewangan yang melimpah ruah. Apa yang mereka ada hanyalah jiwa bolasepak semata-mata.

Tetapi mereka bertahan, membuktikan semangat Agi Hidup Agi Ngelaban tidak pernah padam. Aidil Sharin dan anak buahnya bukan sekadar bermain bola, mereka sedang menulis surat cinta buat seluruh peminat bola sepak Sarawak.

Menanti skuad The Cats selepas ini di separuh akhir adalah juara 33 kali, Selangor, yang mara selepas membenam cabaran Negeri Sembilan dengan agregat 6-1.

Bagi Aidil Sharin, meskipun sudah melakar pencapaian tertinggi dalam sejarah Kuching City sejak menyertai Liga Malaysia, ia belum lagi masa untuk mereka berpesta.

Beliau enggan memandang terlalu jauh memandangkan aksi separuh akhir Piala Malaysia hanya akan berlangsung pada April depan, kira-kira sebulan dari sekarang.

Secara kebetulan, Kuching akan bertemu Selangor terlebih dahulu dalam saingan Liga Super pada 22 Februari ini, satu perlawanan yang mungkin memberi gambaran awal tentang apa yang boleh dijangkakan dalam pertemuan separuh akhir Piala Malaysia nanti.

“Kami telah mencipta sejarah dengan mara ke separuh akhir Piala Malaysia, sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh Kuching sebelum ini. Tetapi belum masa untuk meletak ekspetasi lebih tinggi. Kami mengambil pendekatan satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Kita akan jumpa Selangor dalam liga, mereka adalah pasukan besar. Jadi ia tidak akan mudah, terutamanya jika kami bermain di Stadium Petaling Jaya. Kami tahu mereka tidak tewas dalam lima perlawanan, jadi ini akan menjadi satu lagi cabaran besar buat kami.

“Bermula dari sini, kami perlu menganalisis banyak aspek permainan dan melihat bagaimana kami boleh mendekati perlawanan menentang Selangor,” kata bekas pengendali Kedah itu.

Aidil berkata beliau melakukan sedikit rombakan taktikal semasa menentang Brunei dan berasa lega melihat percaturan tersebut membuahkan hasil.

“Saya sangat gembira untuk pemain seperti Jordan Mintah, yang sudah agak lama tidak berada dalam kesebelasan utama. Ronald pula masih dibelenggu sedikit kecederaan, namun dia terus berjuang, memberi sumbangan dan menjaringkan gol.

“Saya sangat, sangat berpuas hati dengan semua pemain, daripada barisan pertahanan sehinggalah ke bahagian serangan,” tambah Aidil.

RELATED ARTICLES

Most Popular