HomeSukanThinaah Hampir Berputus Asa Sebab Tak Faham Mandarin

Thinaah Hampir Berputus Asa Sebab Tak Faham Mandarin

Pemain beregu wanita nombor dua dunia, M. Thinaah, berkongsi tentang cabaran emosi yang dihadapinya ketika mula menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil (BJSS). Dia mendedahkan bahawa perasaan terasing dan kekangan bahasa hampir menyebabkannya berputus asa.

Thinaah melangkah masuk ke sekolah sukan, tanpa sedikitpun tahu berbahasa mandarin, sedangkan dia dikelilingi rakan sepasukan yang hampir semuanya berkomunikasi dalam bahasa tidak difahaminya itu sekaligus membuatkannya berasa tersisih.

“Sejujurnya saya rasa sangat tersisih. Setiap malam saya telefon dan menangis kat ibu bapa saya dan memberitahu mereka saya tidak mahu tinggal di sana (SSBJ) kerana rasa tidak sehaluan,” kata Thinaah dalam podcast Average Not Average yang dihoskan oleh personaliti media sosial, CK Yew, dan pemenang emas Olimpik dua kali, Viktor Axelsen.

Anak jati Klang ini berkata, tiga bulan pertama adalah tempoh paling sukar kerana beliau bergelut untuk menyesuaikan diri hidup berjauhan dengan keluarga sambil memenuhi tuntutan latihan yang padat.

Bapanya kemudian memberi galakan supaya dia mempelajari sekurang-kurangnya satu perkataan baharu setiap hari dan cuba bergaul dengan rakan sepasukan, bukannya mengasingkan diri.

“Saya langsung tiada asas bahasa Mandarin masa mula masuk sekolah sukan, tetapi lama-kelamaan, hasil bergaul dengan rakan-rakan setiap hari, saya mula faham dan selepas setahun, saya sudah boleh bertutur,” jelasnya.

Bermula dari kemahuan untuk menyesuaikan diri itu kemudiannya membawa kepada aksi dominan di gelanggang, di mana beliau dan Pearly Tan membina reputasi menerusi corak permainan serangan yang agresif dan pantas.

Thinaah memulakan karier dalam acara perseorangan namun sukar tembus ke peringkat senior sebelum jurulatih Rosman Razak membimbingnya beralih ke acara beregu. Peralihan itu tidak membuahkan hasil segera kerana beliau memerlukan masa untuk menyesuaikan cara permainan baru dan membentuk keserasian sebelum mula menyerlah bersama Pearly.

Tahun lalu merupakan musim terbaik mereka apabila berjaya melangkah ke enam final Jelajah Dunia dan merangkul tiga kejuaraan iaitu Terbuka Thailand, Terbuka Artik, dan Masters Jepun.

Mereka juga mencatat sejarah dengan mara ke final Kejohanan Dunia di Paris, namun tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Pasangan ini menutup tirai tahun lalu dengan pingat emas di Sukan SEA Thailand, sekali gus menamatkan kemarau 10 tahun Malaysia dalam acara tersebut.

Walaupun musim ini bermula dengan kekecewaan selepas tersingkir di pusingan kedua Terbuka Malaysia, mereka bangkit dengan mara ke separuh akhir Terbuka India sebelum menjuarai Masters Indonesia.

Thinaah mengakui bahawa identiti permainan mereka sedikit tersasar sebelum ini, namun percaya sedang menemui semula rentak asal menjelang kejohanan All England yang akan berlangsung dari 3 hingga 8 Mac ini.

“Kami sedar ada perubahan dalam permainan kami dan segalanya tidak berjalan lancar seperti sebelum ini. Bagaimanapun, kami perlahan-lahan mendapatkan semula rentak dan identiti yang mendefinisikan kami sebagai satu pasangan,” katanya.

Meskipun kini berada dalam kelompok elit dunia, pemain berusia 28 tahun itu berkata tekanan semakin meningkat memandangkan status mereka sebagai sandaran utama beregu wanita negara.

“Tekanan akan sentiasa ada, tetapi ia bergantung kepada bagaimana kami mengendalikannya dan menjadikannya motivasi untuk bertambah baik, walaupun hanya satu peratus setiap hari,” tambah Thinaah.

RELATED ARTICLES

Most Popular