Pengendali Vissel Kobe, Michael Skibbe mengakui dia menurunkan barisan kedua ketika pasukannya tewas kepada JDT pada Selasa, dengan lapan pemain membuat penampilan sulung di pentas Asian Champions League Elite (ACLE).
Menurut Skibbe, dia terpaksa membuat penggiliran pemain menjelang aksi J-League menentang Shimizu S-Pulse pada Sabtu, dan memuji pemain-pemain yang mentah pengalaman kerana tidak kekok beraksi di pentas tertinggi.
“Saya rasa mereka telah beraksi dengan sangat baik menentang JDT. Kami tampil kompetitif, memberi tentangan sepanjang perlawanan. Jadi, saya perlu akui saya gembira melihat permainan mereka. Contohnya, dari pemain no.12 hingga ke 25 di dalam skuad saya.
“Ianya menarik untuk mempunyai pemain-pemain baru di atas padang, untuk melihat bagaimana mereka bermain. Ini secara tidak langsung memberikan lebih pilihan, dalam masa sama rehat kepada pemain-pemain utama yang tidak dibawa.
“Ia masih di peringkat awal musim, dan masih banyak perlawanan kami kena harungi dalam minggu mendatang, bulan mendatang. Jadi sudah tentu keputusan memberi pendedahan kepada lebih ramai pemain adalah sangat bagus,” kata Skibbe selepas perlawanan.
Vissel Kobe yang berpeluang mengakhiri aksi liga sepusingan ACLE di kedudukan teratas, tewas menerusi jaringan tunggal Marcos Guilherme sekaligus terpaksa berpuas hati menduduki tempat kedua di belakang Machida Zelvia.
Skibbe bagaimanapun tidak menjadikan keputusan merehatkan pemain utama sebagai alasan kekalahan sebaliknya mengakui JDT berhak untuk menang.
“Seperti saya kata, kita tampil beri tentangan sepanjang perlawanan tetapi JDT mempunyai peluang yang lebih baik dan mereka menggunakannya. Ianya sedikit kesilapan menyebabkan kami dihukum dalam satu perlawanan yang berintensiti tinggi dari awal hingga akhir.
“Kami juga bernasib baik dua kali jaringan mereka dibatalkan, selain kami sendiri ada beberapa peluang yang tidak disudahkan termasuk yang terkena tiang. Jadi secara jujur, ia perlawanan adil dan tahniah kepada JDT, kami enjoy perlawanan ini dan suasana sepanjang perlawanan,” kata Skibbe lagi.



