Gandingan beregu lelaki no.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya selangkah sahaja lagi untuk mengenggam gelaran juara All England buat pertama kali dalam karier mereka.
Mara ke final dengan penuh bergaya setelah menumbangkan beregu China di separuh akhir, ini boleh dikatakan peluang terbaik untuk pasangan di ranking no.2 dunia itu menebus hampa kegagalan di final 2019 dan 2024.
Ia juga akan sekaligus menoktahkan kemarau 19 tahun Malaysia untuk merangkul gelaran All England dalam acara beregu lelaki sejak kali terakhir dilakukan pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007.
Acara beregu lelaki di pertandingan tertua dunia ini seterusnya didominasi gandingan Indonesia dengan tujuh gelaran, disusuli pasangan Denmark dan Korea Selatan (tiga gelaran); Jepun dan China (dua gelaran); serta Russia turut berada dalam senarai dengan satu gelaran.
OtaiStation membawa anda mengimbau perjalanan luar biasa Kien Keat-Boon Heong untuk melakar sejarah di Bumi Birmingham waktu itu.
Kien Keat dan Boon Heong mula digandingkan oleh jurulatih, Rexy Mainaky, sebagai persiapan menuju ke Sukan Asia Doha 2006 dan mereka kemudian berhasil menjadi naib juara Terbuka Jepun.
Tidak lama kemudian, gandingan itu mula melakar sensasi apabila meraih emas di Doha dengan menewaskan jaguh China, Cai Yun-Fu Haifeng, dalam aksi final, sekali gus menjadi beregu lelaki termuda memenangi emas acara berkenaan. Kien Keat ketika itu berusia 21 tahun dan Boon Heong pula 19 tahun.
Momentum kemenangan itu dibawa ke tahun seterusnya, yang menjadi tahun terbaik dalam karier mereka. Kien Keat-Boon Heong menjuarai Terbuka Malaysia pada Januari sebelum melangkah ke Kejohanan All England pada 6 Mac 2007.
Rentak gemilang mereka bermula dalam pusingan pertama dengan menewaskan pasangan Indonesia, Sigit Budiarto-Fran Kurniawan (23-21, 21-18) dan seterusnya menewaskan satu lagi pasangan Indonesia, Luluk Hadiyanto-Alvent Yulianto (22-20, 21-15) dalam pusingan kedua.
Di suku akhir, mereka berdepan beregu Korea Selatan, Han Sang-hoon-Yoo Yeon-seong, yang ditewaskan 21-17, 23-21 sebelum dicabar pasangan Denmark, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen, dalam separuh akhir yang turut ditundukkan mudah 21-15, 21-13.
Sekali lagi, mereka bertemu beregu nombor satu dunia ketika itu, Cai Yun-Fu Haifeng, di pentas akhir yang berlangsung pada 11 Mac. Hanya 39 minit diperlukan untuk Kien Keat-Boon Heong menumbangkan pasangan China itu 21-15, 21-18 untuk bergelar juara All England.
Kejayaan itu menjadikan Kien Keat-Boon Heong pasangan Malaysia ketujuh memenangi acara beregu lelaki All England sejak ia mula diperkenalkan pada 1899, 25 tahun selepas kali terakhir dimenangi oleh Razif Sidek-Jailani Sidek pada 1982.
Mereka kemudian memenangi beberapa lagi kejohanan dan akhirnya bertakhta sebagai beregu lelaki nombor satu dunia pada tahun berkenaan.
Harapan seluruh rakyat Malaysia, Jalur Gemilang akan berkibar sekali lagi di podium juara beregu lelaki All England awal pagi esok menerusi kelibat Aaron-Wooi Yik yang akan berdepan Seo Seung Jae-Kim Won Ho dari Korea Selatan.



