Pasukan KL Rovers berterima kasih kepada Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dan Kelab Bolasepak JDT kerana membenarkan mereka menggunakan Stadium Sultan Ibrahim sebagai gelanggang tuan rumah untuk aksi Piala FA pada Rabu.
Perlawanan itu sepatutnya berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, namun pasukan A1 itu telah memohon pertukaran venue.
Justeru itu, JDT bersetuju perlawanan dipinda ke Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula adalah pada jam 6 petang.
“KL Rovers ada membuat permohonan kepada JDT minggu lalu untuk diadakan aksi pertama Piala Malaysia di SSI.
“Di kala KL Rovers sedang berdepan masalah pentadbiran dan kewangan, kesediaan JDT yang diterajui Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menerima permohonan dan membenarkan ia berlangsung di SSI amat dihargai.
Baca juga : TMJ Ajar Cara Mudah Manage Kelab Bolasepak
“Ia sekaligus dapat mengurangkan kos operasi pasukan,” kata Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar.
Tambahnya, “Pemain KL Rovers bersedia untuk menghadapi perlawanan di SSI biarpun ia adalah gelanggang keramat skuad Harimau Selatan.
“Kita tahu JDT berada pada tahap berbeza dan kelas tersendiri. Memang susah untuk menang dengan mereka. Terpulang kepada coach untuk mencorakkan strategi terbaik.”
Sebagai rekod, KL Rovers adalah pasukan keempat untuk menjadikan SSI sebagai venue tuan rumah. Pasukan Malaysian University melakukannya ketika saingan Piala FA, Kelantan Darul Naim dan Perak pula berbuat demikian ketika perlawanan Liga Super.
Tak Main Parking Bas
Dalam pada itu, jurulatih KL Rovers, Wan Mustafa tidak bercadang untuk bermain taktikal parking bas, walaupun menyedari beza kualiti kedua-dua pasukan.
“Kami ibarat langit dengan bumi, tetapi dengan adanya pemain seperti Gopi Rizqi, Syamim Yahya dan Amer Saidin saya berharap mereka boleh memimpin pasukan memberikan tentangan.
“Memang diikutkan realiti misi kami lebih kepada damage control, tidak tewas besar. Kita berdepan sebuah pasukan yang sudah biasa dengan intensiti tinggi, jadi sebarang kesilapan adalah perlu dielakkan.
“Apapun, saya mahu pemain tampil berani dan tunjukkan semangat melawan tinggi,” ujar Wan Mustafa.