HomeRencanaKim Min-jae, Ikon Sempurna Didik Minda Rakyat Korea Selatan

Kim Min-jae, Ikon Sempurna Didik Minda Rakyat Korea Selatan

Pertahanan Bayern Munich dan Korea Selatan, Kim Min-jae ketika ini sedang melengkapkan bahagian kedua perkhidmatan ketenteraan, dari Munich.

Memandangkan Kim Min-jae adalah atlet elit, dia cuma perlu melengkapkan perkhidmatan ketenteraan selama 450 jam, bukannya 18-21 bulan sepertimana diwajibkan ke atas rakyat Korea Selatan lain.

Pemain berusia 27 tahun itu telah melengkapkan 350 jam pertama, dalam tempoh kira-kira tiga minggu di Korea Selatan, ketika cuti off season musim panas sebelum dia menyertai Bayern Munich.

Ada baki lagi 100 jam untuk disudahkan. Menariknya, disebabkan dia tinggal jauh, Korea Selatan memberi pelepasan kepadanya untuk melengkapkan perkhidmatan tersebut dari Munich. Macam mana?

Baca juga: “Saya kegagalan terbesar dalam sejarah bolasepak” – Maldini

Dia perlu meluangkan masa satu atau dua jam dalam seminggu untuk bercakap secara online (video-call) kepada sekolah-sekolah, kumpulan remaja ataupun anak-anak muda Korea Selatan mengenai pelbagai topik.

Ini termasuklah mengenai nilai-nilai murni, etika, disiplin dan komitmen yang diperlukan untuk menjadi seorang ahli sukan profesional berjaya sepertinya.

Bukan Sekadar Membina Ilmu Kemanusiaan

Ia sekaligus menunjukkan kepada kita kenapa negara-negara seperti Korea Selatan ataupun Jepun sudah melangkah terlalu jauh ke depan.

Mereka bukan sekadar membina ilmu kemanusiaan, memupuk semangat kebangsaan dan jati diri. Tetapi kreatif dalam pemikiran, dan sentiasa meletakkan prioriti terhadap pembangunan minda kanak-kanak serta golongan belia.

Dan mereka melihat Kim Min-jae sebagai ikon atau ‘alat’ yang cukup sempurna atas status dan reputasi dibawanya di waktu ini.

Sebagai rekod, Kim Min-jae berhijrah dari Napoli ke Bayern Munich pada 2023 dengan nilai perpindahan €50 juta.

Meskipun pada awalnya sedikit bergelut, dia kini sudah menempatkan dirinya sebagai pemain utama berikutan perpindahan Matthijs de Ligt.

Untuk makluman, perkhidmatan ketenteraan Korea Selatan diwajibkan ke atas semua lelaki negara itu. Pengecualian hanya kepada yang mempunyai masalah mental dan kesihatan fizikal (kelainan upaya).

Tetapi untuk ahli sukan, mereka boleh mendapat pengurangan tempoh perkhidmatan dengan syarat memenangi pingat emas di Sukan Asia, ataupun sebarang pingat di Sukan Olimpik.

Kim Min-jae membantu Korea Selatan memenangi pingat emas di Sukan Asia 2018.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!