Selangor pada musim 2008 berada dalam fasa kebangkitan semula selepas mengharungi beberapa musim yang mengecewakan.
Segmen Nostalgia kali ini mengimbau insiden malang menimpa mereka pada tahun tersebut.
Ramai pemain berprofil tinggi membarisi skuad Red Giants 2008. Antaranya termasuklah Amri Yahyah, Fadzli Shaari, Shukor Adan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Indra Putra Mahyuddin, Frank Seator, Ellie Aiboy dan ramai lagi.
Turut tidak ketinggalan memperkuatkan Selangor adalah tonggak skuad B-23 seperti Nasriq Baharom dan Amirulhadi Zainal.
Baca juga: Saya Adalah Kegagalan Terbesar Dalam Bolasepak
Ini sekaligus mengangkat skuad kendalian Dollah Salleh sebagai pasukan pilihan untuk menamatkan dominasi Kedah malahan dicemburui ramai. Namun mereka mengakhiri saingan musim 2008 di tempat keempat Liga Super, serta naib juara Piala Malaysia dan Piala FA.
Di sebalik menjadi pasukan tumpuan dan mempunyai bintang-bintang skuad kebangsaan, Selangor tidak kebal dari undang-undang Persatuan Bolasepak Malaysia.
Empat Pemain Selangor Tinggalkan Program FAM
Buktinya, mereka didenda RM20,000 dan dipotong tiga mata ekoran insiden empat pemain meninggalkan program kelolaan FAM – Klinik Bolasepak Ian Rush – pada 26 Mac 2008.
Empat pemain tersebut iaitu Akmal Rizal, Indra Putra, Amirulhadi dan Safee Sali berbuat demikian setelah dipanggil pulang Selangor untuk membantu persiapan mengharungi saingan Piala FA.
Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 11 April memutuskan FAS bersalah memanggil pulang pemain tanpa kebenaran dan menjatuhkan hukuman itu.
Dollah Salleh yang mempertahankan pemainnya didenda RM10,000 manakala kesemua empat pemain pula masing-masing didenda RM1,000. Keseluruhannya berjumlah RM34,000.
FAM menegaskan mana-mana pasukan WAJIB melepaskan pemain untuk sebarang program kelolaan mereka tidak kiralah ia kem latihan mahupun lain-lain program.
Pasukan yang didapati bersalah melanggar peraturan dikenakan denda maksimum RM50,000 dan tiga mata dalam Liga Malaysia dipotong.
”FAM terpaksa bertindak tegas mengenakan hukuman ini, jika tidak, kewibawaan FAM akan dipertikai. FAS juga diberi amaran keras,” kata Pengerusi Jawatankusa Tatatertib FAM ketika itu, Tan Sri Aseh Che Mat.
Mengenai hukuman pemotongan mata pasukan Selangor dalam Liga Super sedangkan kesalahan yang dilakukan oleh pemain adalah kerana mahu menumpukan aksi Piala FA, Aseh berkata, hukuman tersebut juga dibuat mengikut peraturan.