Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tampil memberi penjelasan mengenai penglibatan tiga pemain JDT yang digantung 12 bulan dalam aksi Asian Champions League Elite (ACLE) ketika menentang Sanfrecce Hiroshima pada 4 Mac lalu.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul menegaskan JDT tidak menyalahi peraturan memandangkan Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) telah memberikan “penangguhan pelaksanaan” (stay of execution) terhadap hukuman tersebut ketika itu.
Jelas beliau, penangguhan itu secara sementara menghentikan penguatkuasaan larangan bermain sepanjang proses rayuan berlangsung, sekali gus membolehkan pemain terbabit turun beraksi.
“Apabila CAS memberi penangguhan, penggantungan itu tidak dikira dalam tempoh berkenaan dan masa yang berlalu juga tidak ditolak daripada tempoh hukuman asal,” katanya.
Penjelasan ini dibuat susulan kenyataan dibuat pengendali Sanfrecce Hiroshima, Bartosch Gaul yang tidak faham JDT boleh menurunkan pemain yang digantung ketika pertembungan kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ibrahim dan kemudian penggantungan ke atas mereka diteruskan semula.
“Sejujurnya, ini satu lawak. Saya buntu. Saya keliru… kerana kami mendapat maklumat bahawa tiga orang pemain telah digantung selama 12 bulan, tetapi kemudian secara tiba-tiba, sejurus sebelum perlawanan, mereka dibenarkan untuk bermain.”
Dalam perlawanan itu, Sanfrecce tewas 1-3. Walaupun menang 1-0 pada aksi timbal balik di Hiroshima, ia belum cukup untuk menghalang JDT mara ke suku akhir dengan agregat 2-3.
Menurut Windsor, pihak AFC juga tidak menerima sebarang aduan rasmi mengenai isu berkenaan.
Isu ini berpunca daripada keputusan CAS melibatkan kes Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain yang didakwa memalsukan dokumen kelayakan. Dalam keputusan di Lausanne minggu lalu, CAS mengekalkan sebahagian rayuan pemain tetapi meminda hukuman asal FIFA.
Walaupun pemain tetap perlu menjalani penggantungan 12 bulan, larangan itu kini hanya terpakai untuk perlawanan rasmi sahaja. Mereka masih dibenarkan berlatih dan terlibat dalam aktiviti bola sepak lain bersama kelab masing-masing.
Pemain yang terlibat ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal, dan Hector Hevel. Tiga daripada mereka—Figueiredo, Irazabal, dan Hevel—beraksi untuk Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam ACLE.



