Wakil negara, JDT melakar pencapaian penuh bersejarah apabila mara ke suku akhir Asian Champions League Elite (ACLE) dengan menyingkirkan kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima.
Pasukan Harimau Selatan menjadi kelab Malaysia pertama untuk sampai ke kelompok lapan terakhir pertandingan tertinggi bolasepak Asia, memperbaiki pencapaian terbaik mereka layak ke pusingan 16 terbaik pada musim 2024/25.
Di kala seluruh bangsa Johor bergembira, kemenangan mereka seolah cuba diperlekehkan oleh media dan penyokong negara matahari terbit itu. Antara ‘modal’ paling popular adalah posting di laman Japan Football yang menulis Sanfrecce membariskan 100 peratus anak jati Jepun dalam kesebelasan utama, manakala JDT pula hanya kapten Afiq Fazail merupakan anak jati selebihnya awang import.
Ia mengundang pelbagai reaksi daripada penyokong bolasepak seluruh dunia – ada yang melabel JDT sebagai kelab Malaysia celup, tetapi ramai juga yang mempertahankan dengan menyatakan pertandingan peringkat kelab tidak dipengaruhi sentimen sedemikian.
Dalam laporan disiarkan The Star, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menerusi Setiausaha Agung, Datuk Windsor Paul menegaskan bolasepak peringkat kelab di Asia sudahpun berevolusi dan naratif anak jati sudah tidak lagi relevan untuk dimainkan.
Menurutnya AFC telah memansuhkan pendaftaran pemain mengikut kuota pemain tempatan dan asing yang diguna pakai sebelum ini bagi saingan AFC Champions League Elite (ACLE) dan AFC Champions League Two (ACL2).
“Pendaftaran pemain tidak lagi berasaskan kewarganegaraan. Selagi pemain mempunyai kontrak sah dengan kelab, dia boleh didaftarkan dan diturunkan. Kelab bebas untuk menandatangani dan mendaftarkan pemain daripada mana-mana kewarganegaraan sekalipun,” tegas Windsor.
Beliau menambah bahawa adalah perkara biasa bagi pemain untuk memegang pelbagai pasport dan kelab boleh menggunakan mana-mana pasport tersebut bagi tujuan pendaftaran.
“Kami menggunakan data pasport untuk pangkalan data kami dan bagi menjejaki sejarah pemain, tetapi ia bukan lagi kriteria kelayakan untuk pertandingan itu sendiri.”
Beliau menambah bahawa jawatankuasa pertandingan AFC memansuhkan kuota pemain tersebut kerana kelab-kelab Asia sering berada dalam kedudukan tidak beruntung apabila beraksi di kejohanan global seperti Piala Dunia Kelab FIFA.
“Kelab dari rantau lain sering memiliki jumlah pemain asing yang ramai. Untuk mencabar pasukan terbaik dunia, kita perlu memberikan fleksibiliti yang sama kepada kelab-kelab kita.
“Ini tidak bermakna kelab wajib memilih pemain asing semata-mata. Sebagai contoh, kelab Jepun sering menurunkan lima atau enam pemain tempatan kerana tahap kualiti mereka setanding dengan bakat asing.
“Ia bergantung kepada liga tempatan dan strategi kelab tersebut. Perubahan ini memberi pilihan kepada kelab untuk menyesuaikan komposisi pemain mengikut kesesuaian, selaras dengan visi AFC untuk bersaing dengan kuasa besar dunia.”
Walau bagaimanapun, Windsor menegaskan bahawa kelayakan untuk mewakili kelab adalah berbeza dengan kelayakan untuk mewakili pasukan kebangsaan dalam pertandingan di bawah seliaan FIFA.



