HomeSukanJDT, Selangor Enggan Lepaskan Pemain

JDT, Selangor Enggan Lepaskan Pemain

Persiapan skuad negara untuk menghadapi Piala ASEAN Futsal 2026 di Thailand kira-kira tiga minggu sahaja lagi, menerima tamparan hebat apabila tidak dapat mengumpulkan barisan pemain utama.

Ketua jurulatih, Addie Azwan Zainal dijangka menyenaraikan skuad tangkap muat, berikutan dua pasukan JDT dan Selangor difahamkan enggan melepaskan pemain mereka untuk pertandingan serantau itu.

Ini sekaligus menjawab persoalan mengapa sehingga ke waktu ini senarai panggilan ke kem kebangsaan belum diumumkan.

Menurut sumber rapat FAM kepada OtaiStation, dua gergasi futsal itu yang “memegang” 15 daripada 16 pemain skuad kebangsaan memilih untuk tidak melepaskan pemain kerana sudah dalam fasa pra-musim selain alasan pertandingan berlangsung di luar kalendar FIFA.

“Ramai bertanya kenapa belum umumkan call-up, takkan nak tunggu last minute. Tapi inilah masalah yang kita hadapi. Agak pening kepala juga jurulatih mahu senaraikan pemain sedangkan keseluruhan skuad kebangsaan dibentuk pemain Selangor dan JDT.

“Kedua-dua pasukan tidak bersedia melepaskan pemain kerana sudah memulakan latihan pra-musim bagi musim baru Liga Futsal dan tidak mahu mengambil risiko pemain-pemain mengalami kecederaan.

“Pilihan sekarang adalah memanggil sahaja pemain-pemain dari pasukan lain yang sedia berjuang untuk pasukan kebangsaan atau pemain-pemain dari skuad bawah umur. Kita agak kesuntukan masa untuk buat persiapan, kita kena tetap menghantar skuad. Tarik diri bukanlah satu pilihan kerana ia akan membawa kepada hukuman daripada AFF,” ujar sumber tersebut.

Sebagai rekod, JDT sahaja mempunyai sembilan pemain kebangsaan iaitu Firdaus Ambiah, Daniel Dain, Saad Sani, Ridzwan Bakri, Awalluddin Md Nawi, Ekmal Shahrin, Syed Aizad Daniel serta dua pemain baru Zainulzahin Sinuan dan Norakmal Norizal.

Manakala Selangor pula enam pemain iaitu Saifuddin Syukri, Syahir Iqbal Khan, Faris Johan, Syawal Sabaruddin, Khairul Effendy Bahrin dan Aidil Zakwan.

Piala ASEAN Futsal dijadual berlangsung dari 5 hingga 13 April depan, membabitkan lapan pasukan susulan penarikan diri Kemboja baru-baru ini. Skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama-sama juara bertahan Indonesia, Australia dan Brunei.

Pencapaian terbaik skuad Harimau Malaya adalah muncul naib juara sebanyak lima kali pada 2003, 2005, 2010, 2017 dan terakhir pada 2018.

RELATED ARTICLES

Most Popular