Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) mengancam untuk memanjangkan pertikaian mengenai isu pemain berdarah campuran Malaysia ke FIFA sekiranya keputusan akhir daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dianggap tidak adil.
Ini bergantung sepenuhnya kepada keputusan yang akan diputuskan Jawatankuasa Tatatertib AFC berhubung kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Vietnam pada tahun lalu. Mereka tetap mahu keputusan itu dibatalkan.
“VFF bersedia untuk mengemukakan petisyen kepada AFC dan FIFA jika keputusan akhir dalam kes naturalisasi Malaysia ini dianggap tidak munasabah atau kurang adil. CAS sudahpun menolak rayuan Malaysia dan mengesahkan ada berlaku pemalsuan dokumen, hukuman FIFA juga dikekalkan terhadap tujuh pemain mereka (Malaysia) jadi tiada asas untuk AFC mengekalkan keputusan perlawanan itu,” lapor media Vietnam.
Tambah laporan itu lagi : “VFF percaya keputusan AFC boleh memberi kesan besar kepada kedudukan kumpulan, terutamanya jika Malaysia dikenakan hukuman.”
Untuk rekod, skuad Harimau Malaya yang diperkuatkan Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Hector Hevel, Gabriel Palmero, dan Facundo Garces memalukan Vietnam di Stadium Bukit Jalil pada Mac tahun lalu dengan kemenangan bergaya 4-0.
Jaringan Figueireido, Holgado, Dion Cools dan Corbin Ong dalam masa sama menamatkan kemarau kemenangan 11 tahun atas pasukan digelar Naga Emas itu.
Mengikut peraturan semasa, pasukan yang menurunkan pemain tidak layak berdepan hukuman kekalahan percuma 3-0. Ini boleh menyebabkan Malaysia kehilangan enam mata daripada perlawanan menentang Vietnam dan Nepal sebelum ini.
Harimau Malaya kini mendahului Kumpulan F dengan 15 mata, diikuti Vietnam (12), Laos (3), dan Nepal (0). Hanya juara kumpulan yang akan layak secara automatik ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Walaupun berdepan ketegangan undang-undang, VFF menegaskan bahawa pasukan kebangsaan mereka tetap fokus kepada perlawanan kelayakan menentang Malaysia pada 31 Mac ini.
“Pihak persekutuan menekankan bahawa pasukan akan meneruskan persiapan seperti yang dirancang dan tidak akan membiarkan isu ini mengganggu tumpuan mereka,” kata laporan itu.



