HomeSukanMFL Pertahan Keputusan Berkenaan 4 Pemain Warisan

MFL Pertahan Keputusan Berkenaan 4 Pemain Warisan

Malaysia Football League (MFL) tiada hasrat untuk menilai semula keputusan memberikan status pemain tempatan kepada empat pemain warisan yang telah didakwa atas kesalahan pemalsuan dokumen.

Badan pengelola liga itu mempertahankan keputusan mereka meskipun menerima pelbagai reaksi tidak puas hati dan kecaman daripada penyokong bolasepak tanah air, dengan menyatakan setiap keputusan dibuat berasaskan peraturan pertandingan yang termaktub.

Ini sebagai menjawab mengenai tindakan sekumpulan individu diketuai Kelab Penyokong Bolasepak Selangor yang membuat himpunan di depan Wisma FAM pada Selasa sebagai menyuarakan bantahan kepada mereka.

“MFL menghormati hak setiap pihak untuk menyuarakan sebarang pandangan namun sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, reputasi industri bola sepak tempatan serta mencetuskan persepsi negatif terhadap ekosistem bola sepak negara adalah tidak wajar.

“Sebagai badan pengelola liga profesional negara, MFL sentiasa komited untuk memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan peraturan pertandingan serta mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk kelab, pemain, penyokong dan rakan industri.

“MFL menyeru semua pihak agar menyalurkan sebarang pandangan atau ketidakpuasan hati melalui saluran yang betul demi memastikan keharmonian dan imej bola sepak negara terus terpelihara,” ujar MFL.

Badan itu turut menjelaskan bahawa MFL menjelaskan bahawa proses pendaftaran pemain naturalisasi dan pemain warisan adalah dua perkara berbeza.

“Proses pengesahan status dan pendaftaran pemain naturalisasi di dalam Liga Malaysia adalah seperti yang dijelaskan dalam Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026 di bawah Perkara 4.5.9.

“Bagaimanapun bagi pendaftaran pemain dari kelab JDT iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan seorang pemain Kuching City, Gabriel Palmero jelas mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan yang sah sebagai warganegara Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).”

Tegas MFL sekali lagi seperti dinyatakan mereka sebelum ini, pemain-pemain yang dimaksudkan didaftarkan menerusi sistem FIFA Connect dengan menggunakan salinan kad pengenalan berwarna.

“Sebagai pemain tempatan, keempat pemain ini boleh didaftarkan terus bagi saingan Liga Malaysia 2025-2026. Malah keputusan MFL untuk mengiktiraf pemain berkenaan sebagai pemain tempatan turut diperakui oleh AFC menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor Paul John pada 13 Mac lalu dengan menjelaskan bahawa tiada sebarang isu berkenaan keputusan yang diambil kerana ia mengikut Peraturan Pertandingan Liga Malaysia.”

RELATED ARTICLES

Most Popular