HomeSukanPiala Dunia: "Maaf Iran, Permintaan Tidak Dapat Dipenuhi'

Piala Dunia: “Maaf Iran, Permintaan Tidak Dapat Dipenuhi’

FIFA membuat keputusan untuk tidak memenuhi permintaan Iran untuk memindahkan perlawanan membabitkan pasukan itu di Piala Dunia dari Amerika Syarikat ke Mexico, meskipun konflik di Asia Barat tengah memuncak.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum berkata demikian dalam satu sidang media pada Jumaat, menurut laporan Agensi Berita Jerman.

“FIFA akhirnya memutuskan bahawa perlawanan itu tidak boleh dipindahkan dari venue asal. Daripada perspektif FIFA, pemindahan itu akan melibatkan usaha logistik yang sangat besar,” kata Sheinbaum.

Sebelum ini, Iran telah memohon kepada FIFA untuk tidak bermain tiga perlawanan peringkat kumpulan di USA berikutan serangan USA dan Israel pada 28 Februari lepas. Walaupun peperangan telah dihentikan menerusi gencatan senjata, Washington masih memberi amaran bahawa serangan lanjut akan dilancarkan.

Di sebalik situasi itu, FIFA sejak dari awal dilihat seperti tidak mahu melayan permohonan Iran untuk memindahkan perlawanan menentang Belgium, New Zealand, dan Mesir pada kempen Piala Dunia yang dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai depan.

Presiden FIFA, Gianni Infantino sebelum ini menegaskan agar Iran tetap mengambil bahagian meskipun hubungan antara Tehran dan Washington dalam keadaan tegang.

“Kami mahu Iran bermain dan Iran akan bermain di Piala Dunia. Tiada Pelan B, C atau D – hanya ada Pelan A,” kata Infantino kepada penyiar Mexico, N+ Univision, dua minggu lalu.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj baru-baru ini menyatakan bahawa pasukan itu memboikot USA, tetapi bukan kejohanan Piala Dunia, tanpa mengulas lanjut butiran mengenainya, lapor agensi berita kerajaan, IRNA.

Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump menyifatkan penglibatan Iran sebagai “tidak sesuai” atas faktor “nyawa dan keselamatan mereka sendiri.”

Di tengah-tengah gencatan senjata yang bermula Selasa, rundingan antara AS dan Iran bagi penyelesaian keamanan yang berkekalan dijadual berlangsung di ibu negara Pakistan, Islamabad, pada Jumaat.

Iran sebelum ini melancarkan serangan balas selepas serangan oleh AS dan Israel, termasuk menyasarkan negara-negara Teluk dan menutup Selat Hormuz yang merupakan laluan perkapalan utama.

RELATED ARTICLES

Most Popular