Bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh, menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mula merancang bagi memastikan pengadil Malaysia terpilih ‘beraksi’ di Piala Dunia 2030 setelah tiada yang terpilih bagi edisi tahun ini.
Dalam senarai diumumkan beberapa hari lalu, calon utama negara, Nazmi Nasaruddin, terlepas peluang untuk berada dalam kalangan 52 pengadil, 88 penolong pengadil dan 30 pegawai VAR bagi Piala Dunia yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai.
Nazmi sebelum ini dilihat sebagai antara berpotensi untuk terpilih selepas menyertai kursus “Calon Piala Dunia FIFA 2026” pada tahun 2024.
Subkhiddin, yang merupakan pengadil terakhir Malaysia dipilih ke Piala Dunia pada 2010 di Afrika Selatan, berkata sekiranya pengadil Malaysia mahu mendapat pengiktirafan FIFA untuk Piala Dunia 2030 (anjuran bersama Maghribi, Portugal dan Sepanyol), jabatan pengadil FAM perlu lincah mencari solusi terutama dalam meningkatkan level pengadil.
“Jika kita melihat kepada Liga Malaysia, saya merasakan pengadil sukar untuk meningkatkan tahap mereka. Perlawanan agak boleh dijangka dan kita dapat melihat pemenang ditentukan lebih awal dalam musim.
“Kita perlu mencari jalan untuk membawa pengadil kita ke tahap lebih tinggi. FAM boleh melihat peluang untuk menghantar pengadil mengadili di liga luar negara seperti Australia dan Jepun.
“Walaupun kita tidak dapat menghantar pengadil untuk mengadili di luar negara, sekurang-kurangnya kita boleh menghantar mereka untuk membuat pemerhatian dan belajar melalui penempatan jangka pendek.
“Kita perlukan kumpulan pengadil yang lebih besar supaya wujud persaingan dan yang terbaik akan muncul. Saya merasakan kekurangan persaingan mungkin menyebabkan Nazmi menjadi selesa.
“Pada zaman saya dahulu, persaingan sangat sengit, jadi semua sentiasa berada dalam keadaan bersedia,” ujar Subkhiddin yang juga merupakan Instruktur Teknikal FIFA.
Tambah beliau, pemilihan pengadil Piala Dunia melalui proses saringan dan penilaian yang sangat ketat, serta semakin komprehensif dalam era moden.
Beliau menambah bahawa pemilihan ke Piala Dunia bukan hanya berdasarkan kecergasan dan pengetahuan undang-undang permainan, tetapi juga pemahaman terhadap falsafah FIFA.
“Untuk menjadi pengadil Piala Dunia adalah sesuatu yang kompleks. Prosesnya mengambil masa berbulan-bulan dan anda bersaing dengan pengadil terbaik dunia. Calon yang disenarai pendek perlu menghadiri kursus FIFA, latihan serta penilaian berterusan.
“Selain itu, calon juga diajar mengenai falsafah dan jangkaan FIFA ketika mereka berada di atas padang. Ia merupakan proses yang panjang untuk melayakkan diri sebagai pengadil Piala Dunia,” kata bekas guru itu.



