HomeSukanSafiq Mahu Cklamovski Teruskan Revolusi Harimau Malaya

Safiq Mahu Cklamovski Teruskan Revolusi Harimau Malaya

Belum masanya tukar jurulatih, biarkan Peter Cklamovski teruskan kerjanya – demikian pandangan bekas kapten skuad Harimau Malaya, Safiq Rahim.

Cklamovski berdepan tekanan hebat dan didesak untuk melepaskan jawatan sejak beberapa bulan kebelakangan. Desakan itu semakin kuat ekoran kegagalannya membawa skuad negara layak ke Piala Asia 2027 yang turut disebabkan skandal pemalsuan dokumen pemain warisan.

Malah pemerhati, pengkritik dan penyokong menganggap Cklamovski hanya nampak gah dengan adanya kelibat pemain-pemain warisan palsu, dan tanpa mereka dia “biasa-biasa sahaja”.

Sebagai buktinya ketika Malaysia diperkuatkan tujuh pemain warisan – Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Joao Figueireido, Rodrigo Holgado dan Facundo Garces – Cklamovski mengharungi tahun 2025 yang sempurna tanpa kekalahan termasuk membelasah Vietnam 4-0.

Namun apabila dia kehilangan semua pemain itu yang digantung 12 bulan, dia tidak mampu meneruskan magisnya apabila tewas kepada Vietnam 3-1.

Kontraknya dilaporkan akan tamat pada hujung tahun ini, dengan Cklamovski sendiri baru-baru ini menyatakan tidak pasti mengenai masa depannya bersama Malaysia. Namun bagi Safiq, pengendali dari Australia itu harus meneruskan apa yang telah dimulakannya.

“Dia harus teruskan ideanya. Baru berapa lama jurulatih sudah (minta) ditukar? Kita kena tengok (semula) program terutama akar umbi. Semua pihak kena duduk di meja bulat untuk membincangkan pelaksanaannya,” katanya kepada Stadium Astro.

Bekas pemain juga menegaskan revolusi Harimau Malaya perlu diteruskan, tanpa mengira siapa yang akan menerajui pasukan selepas ini sama ada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Malaysia National Team (NT).

“Tidak kisah sesiapa yang beri idea dan merevolusikan bola sepak. Kita haruslah beri sokongan untuk membangunkan bola sepak negara, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing demi kebaikan bersama,” katanya.

Untuk rekod, Cklamovski dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan di bawah revolusi dicetuskan Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pada Disember 2024 bagi menggantikan Kim Pan-gon yang meletak jawatan.

RELATED ARTICLES

Most Popular