Dalam budaya bola sepak kita, terma “direhatkan” adalah langkah selamat kelab untuk menamatkan perkhidmatan seseorang jurulatih tanpa konflik undang-undang yang besar.
Contohnya membayar jumlah pampasan yang tinggi, malah ia juga kadang-kadang bertujuan menjaga air muka jurulatih, ‘direhatkan’ bunyinya lebih lembut berbanding dipecat.
Jurulatih terbaru yang menjadi mangsa istilah ‘direhatkan’ adalah Risto Vidakovic, yang diberikan ‘cuti khas’ sehingga penghujung musim oleh pengurusan KL City baru-baru ini dengan perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang JDT menjadi aksi terakhir dikendalikannya.
Lazimnya, apabila “direhatkan”, ia sentiasa menjadi noktah bagi perjalanan karier seseorang jurulatih di sesebuah kelab. Namun Vidakovic mungkin akan mencipta sejarah sebagai jurulatih pertama yang status ‘direhatkan’nya ditarik balik.
Ini berdasarkan kepada kenyataan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Syed Yazid Syed Omar yang tidak menolak keperluan untuk memanggil semula Vidakovic.
“Macam mana pun, kami melihat kepada jalan positif buat KL City. Kami perlu rujuk kepada pemain, exco dan melihat daripada segala sudut.
“Hanya tinggal tiga perlawanan, boleh jadi dia (Vidakovic) akan kembali untuk menghabiskan tiga perlawanan itu. Apapun, keputusannya akan diputuskan dalam mesyuarat yang akan datang,” kata Syed Yazid dilaporkan Nadi Arena.
Terdahulu, Vidakovic mengakui terkejut dan tidak faham dengan keputusan pengurusan kelab itu merehatkannya pada ketika tinggal hanya beberapa perlawanan untuk diharungi bagi musim 2025/26.
Berita Berkaitan: “Saya Diarah Bercuti Melalui Whatsapp” – Vidakovic
Malah lebih membingungkan Vidakovic, keputusan itu dibuat ketika KL City sedang bersaing sengit untuk kedudukan naib juara Liga Super bersama Kuching City FC dan Selangor FC. Dia juga membawa kelab itu mara sehingga ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia sebelum disingkirkan JDT.
Vidakovic menyatakan dia diarahkan bercuti sehingga penghujung musim, dan lebih malang ia dimaklumkan kepadanya melalui whatsapp sebelum perlawanan menentang Kelantan TRW pada 10 April lalu.



