Kem Selangor enggan bersedih terlalu lama selepas tersingkir daripada saingan Piala Malaysia musim 2025/26 berikutan kekalahan kepada Kuching City pada Sabtu lalu.
Meskipun perit satu lagi trofi terlepas daripada buruan musim ini apatah lagi meletakkan harapan terlalu tinggi, barisan kejurulatihan tidak mahu kekecewaan di Piala Malaysia menganggu fokus untuk perlawanan-perlawanan yang mendatang.
“Kekalahan ini memang menyedihkan tetapi kami perlu menjadikan ini sebagai motivasi dan sebagai satu pengajaran, seterusnya maju ke hadapan. Ia bukan penamat bagi kita, masih ada cabaran dalam Piala Shopee dan Liga Super,” kata penolong jurulatih, Lee Soon-seok yang memangku tugas Kim Pan-gon pada perlawanan tersebut.
Kekalahan kepada jaringan tunggal Petrus Shitembi secara tidak langsung menjadi kekalahan pertama buat Gergasi Merah Kuning sejak dibimbing oleh Kim Pan-gon. Kali terakhir mereka tewas adalah kepada JDT pada 4 Januari lalu.
Selangor yang tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan utama sejak menjulang Piala Malaysia pada 2015, masih ada satu peluang terakhir untuk menamatkan musim ini dengan kejuaraan iaitu di Piala Shopee.
Skuad Red Giants akan menentang pasukan dari Vietnam, Nam Dinh di peringkat separuh akhir pada 6 dan 13 Mei depan. Sekiranya lolos ke final, mereka akan berdepan pemenang di antara JDT dan Buriram United.
Sementara di Liga Super pula, Selangor sedang dalam buruan untuk kedudukan naib juara buat musim ketiga berturut-turut. Mereka ketika ini di kedudukan ketiga dengan 43 mata, sedang bersaing sengit dengan Kuching (43 mata) dan KL City (42 mata).
Perlawanan seterusnya yang akan dihadap oleh Selangor adalah Kelantan TRW pada 24 April di Kota Bharu, serta dua perlawanan terakhir di laman sendiri menentang Penang FC pada 2 Mei dan PDRM pada 15 Mei.



