HomeSukanApa Lagi Cara Yang Ada Untuk Tuntut Tunggakan Gaji?

Apa Lagi Cara Yang Ada Untuk Tuntut Tunggakan Gaji?

Bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC, Rosle Md Derus buntu selepas semua saluran rasmi yang digunakan bagi menuntut tunggakan gajinya yang mencecah RM108,000 tidak berhasil malah tidak diendahkan.

Apa yang lebih perit, Rosle sudah menunggu hampir dua tahun untuk KDAFC melunaskan haknya itu. Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) sudah campur tangan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga sudah mengarahkan pembayaran dibuat, namun KDAFC hanya berdiam diri dan seolah tidak mahu bertanggungjawab.

“Saya dah cuba macam-macam cara untuk dapatkan hak saya, tapi semuanya senyap. FAM pun sudah arahkan untuk bayar, tapi sampai sekarang masih tiada tindakan daripada pihak kelab, seolah-olah tiada siapa yang mahu ambil tanggungjawab.

“Saya harap Kerajaan Negeri khususnya Menteri Besar Kedah dapat bantu kerana pasukan ini membawa nama negeri. Tambahan pula, saya difahamkan ada juga ahli lembaga pengarah kelab yang berkait dengan kerajaan negeri.

“Campur tangan pihak kerajaan amat penting bagi memastikan isu tunggakan gaji seperti ini tidak terus berlarutan hingga menjejaskan kebajikan individu yang terbabit dalam industri bola sepak tempatan,” kata Rosle kepada Arena Metro.

Keluhan Rosle mendapat perhatian Ong Kim Swee, Presiden PJBM, yang kesal dengan isu tidak berpenghujung itu sambil mengakui persatuan tidak berdaya melakukan sesuatu melebihi kemampuan terhadap kelab yang terus mengabaikan nasib jurulatih dan pemain.

“Ini isu yang sangat mengecewakan, sudah terlalu lama berlarutan. Kita juga pernah melihat arahan daripada FIFA dan FAM tidak diendahkan.

“Apabila jurulatih membuat aduan kepada kami, kami bantu mereka menyediakan afidavit untuk dihantar kepada FAM. Jawatankuasa Status akan membuat keputusan, tetapi selepas keputusan dibuat pun masih ada kelab yang enggan patuh,” ujarnya dipetik dari laporan Timesport.

Kim Swee menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang menyedihkan, malah mendedahkan bekas presiden PJBM, mendiang B. Sathiananthan, turut pernah berdepan masalah sama.

“Kita pernah ada jurulatih membawa kes ke mahkamah buruh, tetapi kami tidak pasti sama ada tunggakan itu akhirnya dibayar atau tidak.

“Terdapat juga bekas pemain dan jurulatih yang memfailkan saman terhadap pemilik kelab kerana gagal melunaskan gaji, malah seorang pemilik pernah dipenjara kerana gagal menjelaskan tunggakan tersebut,” ujarnya lagi.

Kim Swee mempersoalkan apa lagi yang boleh dilakukan kerana semua saluran sedia ada sudah digunakan namun masih tiada penyelesaian. Beliau menggesa kelab dan pemilik kelab supaya lebih memahami kesan kegagalan membayar gaji.

“Pasukan-pasukan bermasalah ini perlu lebih berperikemanusiaan. Tidak menerima gaji berbulan-bulan boleh memusnahkan kehidupan sesebuah keluarga. Mereka perlu menilai kemampuan kewangan sebelum menghulurkan kontrak. Kesilapan mereka memberi kesan kepada ramai pihak,” tambah bekas jurulatih kebangsaan itu.

RELATED ARTICLES

Most Popular