Meskipun telah mendapat nasihat dan cadangan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk memansuhkan sahaja jawatan Presiden Kehormat menerusi pindaan status di Kongres Luar Biasa pada Khamis ini, ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka akan tetap mengikut kepala sendiri berhubung perkara itu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung AFC, Dato’ Seri Windsor John berkata jawatan Presiden Kehormat sudah tidak dipraktikkan oleh persatuan termasuk di AFC sendiri mahupun di peringkat FIFA kerana dianggap tidak lagi relevan dalam era bola sepak moden ketika ini.
“Memansuhkan jawatan Presiden Kehormat adalah sebahagian daripada cadangan (pindaan statut FAM). Tak perlulah, sebab benda ini tidak dipraktikkan dan tidak relevan. AFC tak ada, FIFA pun tak ada. Kita dalam era bola sepak profesional tidak ada, susah nak jumpa. Namun, mereka ada majlis (bekas pemimpin) seperti Jepun, tiada kena mengena dengan persatuan,” ujar Windsor.
Begitupun, menurut laporan BH Sukan, beberapa ahli gabungan FAM menyifatkan jawatan Presiden Kehormat badan induk itu wajar dikekalkan.
Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang, Mohd Azizudin Mohd Shariff mengakui terkejut dengan kenyataan Windsor bahawa jawatan itu sudah tidak relevan dan menjelaskan bahawa berdasarkan cadangan statut baharu yang diedarkan kepada ahli gabungan FAM minggu lalu, jawatan Presiden Kehormat masih wujud dan dikekalkan dalam struktur organisasi badan induk itu.
Malah, beliau berkata statut baharu itu adalah hasil proses reformasi yang dilaksanakan dengan pembabitan serta panduan daripada AFC sendiri.
“Justeru, kenyataan bahawa jawatan itu akan dihapuskan adalah sesuatu yang menghairankan kerana peruntukan mengenainya masih jelas terkandung dalam draf statut yang dicadangkan untuk diluluskan oleh Kongres.
“Sewajarnya jawatan Presiden Kehormat ini terus dikekalkan. Ini kerana jawatan Presiden Kehormat adalah peranan simbolik (ceremonial) yang dianugerahkan sebagai tanda penghormatan tertinggi kepada individu tertentu,” katanya.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri turut senada dan menegaskan sebarang tanggapan bahawa jawatan itu akan ‘dibuang’ adalah tidak tepat dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli gabungan serta pemegang taruh bola sepak negara.
Beliau berkata, jawatan Presiden Kehormat itu sendiri turut diperuntukkan dalam cadangan pindaan Statut FAM yang disediakan dengan pembabitan serta panduan daripada AFC.
“Ini menunjukkan bahawa kewujudan jawatan itu bukan sahaja diiktiraf, malah terus diberi ruang dalam kerangka tadbir urus baharu yang dicadangkan.
“Apa yang dibentangkan menerusi Kongres Luar Biasa itu nanti adalah sebahagian daripada proses reformasi dan penambahbaikan statut bagi memastikan tadbir urus FAM sentiasa selaras dengan amalan terbaik yang digariskan oleh AFC dan FIFA.
“Sebarang pindaan yang dicadangkan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai usaha untuk menamatkan atau menafikan pelantikan yang sudah diputuskan dan diluluskan oleh Kongres sebelum ini,” katanya.



