Setelah dikaitkan sebagai punca kepada pelbagai isu yang memalukan bolasepak tanah air termasuk malapetaka menimpa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), apakah Malaysia National Team masih relevan?
Malaysia NT diwujudkan pada Disember 2024 atas wawasan Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertujuan merevolusikan skuad Harimau Malaya, dengan peranan khusus dalam aspek strategi, prestasi dan teknikal, selain membabitkan kakitangan, media, komunikasi, perubatan, sains sukan dan logistik pasukan.
Namun Malaysia NT jugalah yang bertanggungjawab mengenalpasti dan membawa masuk tujuh pemain kononnya mempunyai darah campuran, yang kemudian terpalit dengan skandal pemalsuan dokumen kewarganegaraan dan digantung FIFA selama 12 bulan.
Baru-baru ini, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mencadangkan agar pengurusan skuad Harimau Malaya tidak lagi berada di bawah Malaysia NT dan dikembalikan sepenuhnya kepada FAM sebagai sebahagian daripada proses reformasi yang sedang dilaksanakan.
AFC menegaskan struktur pengurusan skuad kebangsaan seharusnya berada di bawah tanggungjawab FAM melalui jawatankuasa khas yang diwujudkan, selaras dengan amalan pentadbiran bola sepak antarabangsa.
Ini menambahkan lagi pertikaian dan persoalan atas kapasiti apa Malaysia NT perlu terus beroperasi dan menghabiskan puluhan juta ringgit. Bagi pemerhati sukan terkemuka, Zakaria Rahim, sudah tiba masanya Malaysia NT dibubarkan.
“Tujuan Harimau Malaya diasingkan daripada pentadbiran FAM adalah untuk kejayaan ekspres. Pada awalnya kita terima dengan hati terbuka tetapi apabila berlakunya skandal seperti yang ramai orang sedia maklum, kita semua sudah tawar hati ke atas Malaysia NT dan mahu ia dikembalikan kepada FAM tanpa campur tangan pihak luar.
“Jurulatih dan pengurus pasukan atau sesiapa sahaja yang mengetuai barisan pengurusan pasukan kebangsaan, mestilah bertanggungjawab dan menjawab kepada FAM,” katanya dipetik dari Nadi Arena.
Justeru, dengan revolusi yang tidak menjadi, kegagalan yang terbukti sehingga bolasepak Malaysia menjadi bahan jenaka di mata dunia, jawapannya mungkin sudah ada – Malaysia NT sudah tidak relevan.



