HomeSukanBekas Pemain Kebangsaan Selar Cara EGM FAM Dikendalikan

Bekas Pemain Kebangsaan Selar Cara EGM FAM Dikendalikan

Ahli gabungan sepatutnya diberikan lebih peluang untuk menilai, bertanya, berbahas dan berkongsi pendapat. Bukannya terus digesa untuk bersetuju dengan pindaan yang dicadangkan.

Demikian reaksi bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, mengenai Kongres Luar Biasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang telah berlangsung pada Khamis lalu.

Meskipun mengalu-alukan pindaan statut dicadangkan AFC demi kebaikan bolasepak tanah air, Jamal Nasir berkata perwakilan ibarat datang ke kongres sekadar untuk menyatakan “yes, saya setuju” dan tidak diberi lebih peluang untuk meneliti isu-isu yang timbul sebelum dan selepas Penilaian Audit Kualiti FAM oleh AFC.

“Ini bukan sekadar mengenai dapatan atau penemuan oleh AFC sepanjang mereka mengaudit FAM, tetapi cara kongres itu dijalankan. Pembentangan AFC mendedahkan pelbagai kelemahan dan isu, tetapi para perwakilan tidak diberikan ruang yang mencukupi untuk membincangkannya sebelum proses pengundian dijalankan.

“Ahli-ahli Kongres sepatutnya dibenarkan membahaskan setiap cadangan pindaan secara terperinci mengikut fasal, artikel demi artikel serta mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu tadbir urus yang dibangkitkan dalam semakan tersebut.

“Kongres tidak sepatutnya menjadi sekadar cop pengesahan. Ahli-ahli perlu diberi peluang untuk membincangkan dan mempersoalkan perkara-perkara yang memberi kesan kepada masa depan bola sepak Malaysia,” katanya kepada wartawan Timesport, Farah Azharie.

Jamal turut menyentuh tentang kelemahan berpanjangan dalam pembangunan bola sepak negara, dengan mendakwa program pembangunan pemain muda tidak diberikan perhatian secukupnya berbanding skuad kebangsaan senior dan skuad B-23.

Menurutnya, program peringkat umur sering berdepan kesukaran mendapatkan pendedahan di luar negara akibat kekangan kewangan, manakala banyak inisiatif pembangunan masih bergantung kepada bantuan kerajaan.

“Kita perlu memberikan komitmen yang lebih tinggi terhadap pembangunan pemain muda kerana itulah asas kepada kekuatan pasukan kebangsaan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan beberapa perkara berkaitan kewangan yang dibangkitkan dalam kongres tersebut, termasuk perbincangan mengenai peruntukan dana kerajaan dan pembentangan bajet. Begitupun FAM dalam satu kenyataan telahpun menolak dakwaan bahawa badan induk itu gagal membentangkan laporan kewangan yang telah diaudit sejak 2016.

RELATED ARTICLES

Most Popular