“Status tersebut ditujukan kepada saya ke?” Demikian reaksi tonggak skuad Selangor FC dan Harimau Malaya, Faisal Halim apabila ditanya komennya tentang status instastory Zaquan Adha Abd Radzak baru-baru ini.
Menurut Faisal, dia tiada sebab untuk melatah atau memberi kenyataan mengenai status tidak berpuas hati ditulis bekas pemain kebangsaan itu, memandangkan namanya tidak disebut. Bagaimanapun pemain berusia 28 tahun itu berkata, jika benar ada salah faham atau masalah berbangkit, ia lebih elok diselesaikan secara profesional dan secara matang, bukan meroyan di media sosial.
“Saya pun tidak tahu dia kata dekat siapa. Tetapi kalau dia tuju kepada saya, dia kena ‘mention’ sayalah. Kalau dia ‘mention’ saya, saya akan reply. Tetapi (jika) perkara tiada apa-apa isu, kalau benda sikit-sikit ni kenapa nak ke media sosial kan? Kalau dia ada masalah dengan saya, kita berhubung secara baik,” katanya.
Menurut Faisal, dia ketika ini fokus kepada komitmennya kepada program pembangunan sukan akar umbi melibatkan Kelab DNA Faisal Halim yang berpangkalan di Pulau Pinang.
Sejak beberapa hari lalu, nama Zaquan Adha tiba-tiba meletup apabila dia meluahkan rasa geram dan sakit hati dengan sikap seorang pemain bolasepak tanpa mendedahkan namanya.
“Kau jangan ingat sekarang nama kau orang sebut-sebut, kau boleh berlagak. Aku tak mintak duit kau lah. Aku tanya rate (kadar bayaran) kau berapa jer. Kau ingat aku hamakk sangat dengan kau ke?? Budi bahasa kena ada, aku pernah ada kat tempat kau dulu. Aku mungkin tak hebat macam kau, tapi setakat gambar kat billboard dulu aku pernah rasa. So, kau takpayah nak berlagak cakap kadar bayaran kau tinggi. Kau just bagitahu jer berapa rate kau!!!
“Ingat, kita tak selalu di atas. Bila kau berhenti main bola satu hari nanti, baru kau tahu langit tinggi ke rendah. Masa akan sampai juga satu hari nanti. Tak selamanya kita akan berada di atas. Pemain yang dah juara 12 kali pun tak sombong macam kau la, baru masuk final S Cup jer pun. Nasib baik laa JDT tak sign kau, puiii,” demikian ayat pedas ditulis Zaquan Adha.
Bagaimanapun ramai penyokong beranggapan Zaquan tidak profesional untuk mengkritik seseorang pemain tidak kira siapa yang dimaksudkan, memandangkan dia bukan sahaja berstatus bekas pemain, tetapi seorang public figure yang banyak terlibat di dalam ulasan dan punditry bolasepak.



